Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi cara bagaimana beliau mengawal pemain di kelabnya yang terdiri daripada pemain berprofil tinggi.

Dalam satu wawancara bersama HotFM dalam segmen Bekpes Hot, TMJ menegaskan beliau mempunyai cara tersendiri bagi memastikan pemain JDT sentiasa memberikan prestasi terbaik di atas padang dan tiada pemain yang bersikap diva dalam pasukan.

“Saya tegas dari segi prestasi pemain kerana mereka menerima gaji yang besar. Oleh itu, mereka harus sentiasa mengekalkan tahap profesionalisma mereka ketika menjalankan tugas.

TMJ JDT
Sumber Gambar: JST

“Saya seorang yang demand mengenai prestasi tetapi saya juga bermurah hati untuk menjaga kebajikan mereka. Kita akan mendapat perkara positif sekiranya kita tahu bagaimana kita nak menjaga orang yang bekerja untuk kita dan mereka tahu untuk membalas budi,” kata TMJ menurut laporan NST.

Dalam masa yang sama, beliau berkongsi kesukaran ketika awal mula mengambil alih JDT dimana tidak ramai pemain yang mahu menyertai pasukan itu kerana tidak yakin sama ada TMJ akan kekal berada di kelab ataupun hanya sementara.

“Pada mulanya tiada siapa nak menyertai JDT kerana mereka bimbang saya akan berada di kelab hanya sementara sekaligus risau tidak menerima gaji dan kemudiannya berdepan masalah lain.

“Sukar untuk meyakinkan pemain untuk menyertai kami pada mulanya,” tambahnya yang turut mengatakan beliau mula rasa berpuas hati dengan apa yang diraih sejak 2020.

Sebelum ini, TMJ menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran padanan untuk membantu naik taraf padang dengan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium setiap negeri.

Menurut kenyataan rasmi TMJ di laman facebook Johor Southern Tigers, ia adalah cadangan beliau sendiri untuk memastikan setiap stadium di Malaysia mempunyai padang yang berkualiti untuk kemajuan bola sepak tempatan.

“Saya ingin memuji inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Belia Dan Sukan YB Hannah Yeoh dan pihak kementerian (KBS) bagi memastikan stadium-stadium di Malaysia mempunyai padang bola sepak yang baik.