Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran padanan untuk membantu naik taraf padang dengan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium setiap negeri.

Menurut kenyataan rasmi TMJ di laman facebook Johor Southern Tigers, ia adalah cadangan beliau sendiri untuk memastikan setiap stadium di Malaysia mempunyai padang yang berkualiti untuk kemajuan bola sepak tempatan.

“Saya ingin memuji inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Belia Dan Sukan YB Hannah Yeoh dan pihak kementerian (KBS) bagi memastikan stadium-stadium di Malaysia mempunyai padang bola sepak yang baik.

“Ketika sesi perbincangan bersama Menteri di Johor Bahru baru-baru ini, saya telah memberitahu beliau bahawa kos untuk satu padang bola sepak yang bagus tidak melebihi RM1 juta.

“Saya mencadang jika KBS boleh membantu bola sepak Malaysia dengan memberikan padang yang baik di kesemua 14 negeri dan ia kemudian diselenggarakan oleh pasukan bola sepak yang menggunakannya kerana padang adalah antara perkara utama dalam sukan ini. Saya gembira apabila YB Hannah bersetuju,” kata TMJ.

Bagaimanapun, TMJ agak kecewa apabila mendapati sesetengah pemilik kelab dalam Liga Malaysia tidak berminat untuk mengeluarkan wang membiayai kos penyelenggaraan padang walaupun telah dapat secara percuma.

“Apabila saya melakukan penyelidikan dan mendapat maklumat, ada beberapa pasukan yang tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan wang untuk penjagaan padang meskipun ianya adalah perkara yang penting.

“Keadaan padang yang teruk ini juga adalah sebab mengapa negara jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan lain-lain dapat menganjurkan kejohanan-kejohanan antarabangsa dan kita tidak. Kos penyelenggaraan adalah sekitar RM240,000.

“Takkan sudah dapat padang percuma tetapi tidak boleh menampung kos penyelenggaraan walaupun menerima bajet tahunan bernilai jutaan Ringgit?

“Ini adalah akibatnya apabila ada pemilik kelab atau presiden bola sepak yang tidak mempunyai minat atau kecintaan terhadap bola sepak tetapi berada dalam industri bola sepak semata-mata untuk agenda peribadi,” tegas TMJ.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali pemain melakukan hantaran.

Selain Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga dalam proses untuk penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang dijangka siap pada bulan oktober ini.