Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berpendapat kebanyakan kelab Liga Malaysia membelanjakan wang untuk perkara yang tidak berfaedah berbanding menukar padang latihan atau di stadium masing-masing.

TMJ juga mengakui kecewa apabila mendapati sesetengah kelab tidak mahu mengeluarkan wang membiayai kos penyelenggaraan padang demi kemajuan bola sepak negara.

“Bagi pandangan saya, kos penyelenggaran bukan satu alasan kerana bajet paling kurang dalam Liga Super pada hari ini adalah RM8 juta untuk satu pasukan. Penyelenggaran padang tidak mencecah lebih RM300,000 setahun, jadi di mana logik tiada pasukan yang boleh selenggara padang.

“Ada kelab yang dapat RM20 juta lebih daripada kerajaan negeri termasuk ada juga kelab yang dapat lebih RM30 juta. Kos penyelenggaran padang paling tinggi pun RM280,000 saja. Takkan tak boleh selenggara? Tak masuk akal bagi saya,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari ini.

TMJ
FOTO: Muhammad Izzudin Abd Radzak | BERNAMA

Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada setiap stadium di Malaysia bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia namun kos penyelenggaraan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Selain itu, TMJ juga menafikan penukaran rumput jenis Zeon Zoysia ini akan memberi kelebihan kepada JDT sebaliknya ia mampu membantu Malaysia jadi tuan rumah kejohanan bola sepak antarabangsa.

“Apa yang saya nampak adalah masalah utama kita letak kewangan dalam benda yang tidak berfaedah sebagai contoh tak nak tukar padang kerana kita rasa dalam saingan domestik akan memberi impak negatif terhadap skuad JDT tetapi takkanlah dah 11 tahun tak sedar lagi bahawa benda itu tiada impak untuk kami.

“Jadi sekarang ini kita perlu fikir dalam sudut lebih besar iaitu pasukan kebangsaan adalah keutamaan kerana kita ada pertandingan-pertandingan yang mana saya rasa kita ada harapan boleh pergi jauh, jadi kalau kita tak tukar padang sekarang dan jaga kualiti fasiliti kita akan ketinggalan,” jelas TMJ.