Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi bakal dinaik taraf bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai venue kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Sebagai permulaan, mereka akan memberi tumpuan kepada pemasangan tempat duduk penonton dahulu dengan kos berjumlah RM1.2 juta yang bermula pada bulan Mac ini.

Pemasangan kerusi bernombor di stadium itu dianggarkan boleh memuatkan sehingga 45,000 penonton dalam satu-satu masa.

Bukan sahaja tempat duduk penonton, mereka juga akan menukar padang stadium tersebut kepada rumput jenis Zeon Zoysia selepas mendapat tawaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Memetik laporan daripada Berita Harian, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Masri Razali memberi bayangan kerja penanaman rumput itu dijangka bermula tahun depan selepas pihaknya baik pulih sistem saliran di padang berkenaan.

“Penggantian rumput jenis Zeon Zoysia di stadium ini tidak dilaksanakan pada waktu terdekat. Memang ada tawaran dari Kementerian Belia dan Sukan (penggantian rumput), ia hanya untuk padang sahaja.

“Namun, kami perlu baiki sistem saliran dahulu. Ia akan ambil masa sedikit dan bukan musim ini, bukan dalam masa terdekat kerana keutamaan perlu diberikan kepada membetulkan saliran,” katanya.

Rumput Zeon Zoysia jenis tahan lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas. Difahamkan tawaran yang diberikan KBS adalah dengan membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.

Ini adalah rumput yang sama yang digunakan di Stadium Sultan Ibrahim dan juga bakal ditanam di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Rumput jenis ‘cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola sepak profesional berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan melantun setiap kali melakukan hantaran.