Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menggesa semua pihak mengambil langkah untuk menukar padang stadium masing-masing kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

TMJ berkata demikian menerusi satu hantaran di laman instagram ketika mengulas mengenai tawaran daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk menanggung kos tukar rumput.

KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia namun kos penyelenggaraan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Rumput lembu atau jenis 'Cowgrass' tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

"Kalau nak tunggu pemilik kelab, sampai bila bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900K tak boleh buat.

"Baru-baru ini saya ada beri cadangan kepada pemilik kelab. Saya cakap buat masa menunggu stadium baru siap tukar padang stadium yang pakai sekarang. Sekurang-kurangnya apabila stadium baru siap, anda mempunyai dua padang berkualiti.

"Dia jawab FAM kena bantu. Semenjak bila badan induk yang bertanggungjawab atas infrastruktur kelab kita? Tetapi inilah akibatnya apabila ada pemilik dan presiden yang tak minat bola tetapi mengguna bola sepak demi agenda lain. Mindset," tulis TMJ.

Kenyataan daripada TMJ turut dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mahu lihat semua di stadium di Malaysia mempunyai sebuah padang berkualiti.

"Betul, ini idea TMJ untuk mencadangkan lebih banyak stadium di seluruh Malaysia mempunyai padang rumput yang berkualiti," jelasnya.

Selain Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga dalam proses untuk penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang dijangka siap pada bulan oktober ini.

Isu mengenai padang menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat Liga Malaysia apabila ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim meluahkan rasa tidak puas hati dengan keadaan padang di Stadium Kota Bharu.

https://twitter.com/nocontextbolamy/status/1632758893125443584?s=20

Malah, peminat juga mengkritik keadaan padang di Stadium Negeri Sarawak yang kelihatan hancur ketika aksi Liga Super melibatkan pasukan Kuching City menentang Sabah.