Perak FC sekali lagi kempunan untuk mendapatkan kemenangan sulung dalam saingan Liga Super 2023 apabila mereka mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Kelantan United (KUFC) di Kota Bharu, semalam.

Selepas 3 perlawanan, mereka hanya mampu menjaringkan satu gol dan jelas berdepan masalah ketumpulan penyudah walaupun mempunyai deretan peluang terhidang.

Mengulas mengenai aksi menentang KUFC, pengendali Perak, Datuk Lim Teong Kim tidak puas hati dengan keadaan padang yang tidak rata di stadium lawan sehingga memberi kesukaran kepada pemainnya untuk melakukan hantaran tepat.

“Pemain telah bermain dengan bersungguh-sungguh dan walaupun seri, saya berpuas hati dapat bawa balik satu mata.

“Padang sini susah nak main bola. Masalahnya kalau padang itu tak rata kerana di dalam bola itu banyak katak. Dia melompat-lompat, jadi kita nak main combination tu susah sikit la.

“Bukan kita tak nak main bola. Kita nak main bola tapi padang tu tak sesuai. Dia punya tak rata,” jelas Teong Kim dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Ketika perlawanan itu, Perak bermula lebih garang mengasak kubu tuan rumah dan beberapa percubaan berbahaya dilakukan untuk menamatkan kebuntuan gol pada separuh masa pertama namun gagal menghasilkan jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah mempamerkan aksi lebih menyerlah dengan beberapa serangan mencemaskan digerakkan oleh penyerangnya Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin namun masih gagal menemui pintu gol.

Malah, pemain import KUFC, Ernist Batyrkanov nyaris menjaringkan gol menerusi hantaran kemas di depan gawang lawan, bagaimanapun tandukan Devid De Santana Silva pada minit ke-83 mudah berjaya dibaca penjaga gol Perak, Tian Kiat See.

KUFC juga memperolehi peluang terbaik melalui gerakan menarik Royyizzat Daud namun rembatannya sedikit tersasar sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan 0-0.

Keputusan itu menyaksikan Perak kini berada di kedudukan 10 dalam carta Liga Super dan berpotensi berada di tangga tercorot jika gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan seterusnya.