Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Pölking bakal menghadiri perlawanan kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 antara Vietnam dan Indonesia yang bakal berlangsung di Stadium Bishan hari ini.

Thailand menjadi pasukan pertama mara ke peringkat separuh akhir setelah menewaskan Filipina dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura semalam dan Polking sudah membuat percaturan bagi menghadapi lawan di peringkat seterusnya.

“Ada perlawanan penting dalam kumpulan B iaitu aksi antara Vietnam menentang Indonesia dan keputusan perlawanan ini akan menentukan pasukan mana yang akan muncul sebagai juara kumpulan. Saya akan hadir pada perlawanan ini.

“Vietnam telah menampilkan prestasi yang baik, bertahan dengan cemerlang dan bahagian serangan cukup berbahaya. Namun Indonesia juga tidak ketinggalan. Saya akan menganalisa kekuatan kedua-dua pasukan dan perlawanan ini akan menjadi satu perlawanan yang menarik,” kata Alexandre Pölking.

Dua jaringan Teerasil Dangda pada aksi menentang Filipina sudah cukup untuk membawa Thailand ke separuh akhir dan pemain BG Pathum United itu turut muncul sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah saingan Piala AFF Suzuki dengan catatan 19 jaringan.

Bercakap mengenai Teerasil, Pölking menyifatkan pemain berusia 33 tahun itu merupakan antara penyerang terbaik yang pernah beraksi di bawah kendalian beliau.

“Dia merupakan penyerang terbaik yang pernah beraksi di bawah kendalian saya. Pada perlawanan menentang Filipina, beliau beraksi dengan baik dan saya gembira mengenai perkara itu. Thailand mempunyai ramai penyerang muda namun saya masih memilih Teerasil. Saya yakin beliau boleh menjaringkan 6 atau 7 gol dalam saingan edisi kali ini,” tambahnya.

Dalam kumpulan A, mengiringi Thailand ke separuh akhir ialah tuan rumah iaitu Singapura selepas mereka menewaskan Timor Leste dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Adam Swandi pada separuh masa pertama dan Shakir Hamzah pada separuh masa kedua.

Singapura dan Thailand akan bertemu pada 18 Disember ini bagi menentukan pemenang kumpulan A. Ketika ini, Thailand berada di tangga pertama dengan perbezaan jaringan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Piala AFF 2020: Rekod Hebat Teerasil Dangda Serikan Kejayaan Thailand

Dua Tonggak Pertahanan Cedera Hamstring, Harimau Malaya Kini Bergantung Pada Dominic Tan Dan Dion Cools

77.78% ‘Winning Rate’ Park Hang-seo Berdepan Pasukan ASEAN, Indonesia Dan Kemboja Bakal Menjadikannya 80%?