Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemain terbaik perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021, Zhafri Yahya mengakui secara jujur tidak menyangka musim 2021 bakal menjadi satu sejarah yang cukup gemilang buat Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Setelah melalui pelbagai onak dan duri bersama pasukan sejak enam musim yang lalu, Zhafri menganggap kejayaan menjulang trofi TM Piala Malaysia 2021 akan menjadi kenangan paling manis dalam kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Dalam masa sama, dia juga memberikan penghargaan kepada ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang telah melakukan transformasi terhadap peranannya dalam pasukan iaitu dari bahagian tengah kepada sayap.

“Saya betul-betul terkejut dengan pencapaian Kuala Lumpur sepanjang musim kerana kami tidak tewas dalam 21 perlawanan malah sebelum datang ke final , kami hanya turun dengan status bukan pilihan.

Kredit Foto: MFL

“Namun kami berupaya menewaskan JDT (Johor Darul Ta’zim) dan itu betul-betul membuatkan saya sangat gembira malah ini menjadi pencapaian tertinggi saya sepanjang enam tahun di Kuala Lumpur.

“Biarpun dalam perlawanan saya terlepas beberapa peluang tetapi saya perolehi satu kesempatan yang saya tidak akan lepaskan dan gol pertama itu nyata beri semangat kepada pasukan.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada jurulatiih kerana dia dapat kenal pasti posisi yang sesuai dengan saya sepanjang bersama pasukan musim ini,” ujar Zhafri Yahya lagi.

Dalam perlawanan itu, Zhafri memecahkan kebuntuan pada minit-66 sebelum ketua pasukan, Paulo Josue, menggandakan kelebihan pada minit-74 bagi melengkapkan hari penuh gemilang buat KL City FC.

Kemenangan itu juga menamatkan kemarau penantian 32 tahun KL City yang kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 1989 selain kejuaraan kali keempat secara keseluruhan.

 

 

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group