Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kuala Lumpur (KL) City FC nyata tidak gentar dengan reputasi hebat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mereka berjaya menjulang trofi TM Piala Malaysia 2021 dengan kemenangan 2-0 dicatatkan pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Aksi final yang benar-benar berada dalam norma baharu itu apabila diadakan pada hari bekerja jelas tidak menghalang kemeriahan dengan kehadiran 20,000 penyokong.

Sejarah yang dilakarkan KL City itu sudah pastinya terarah kepada disiplin tinggi para pemain skuad ‘Warga Kota’ itu serta ketangkasan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza Hansen.

JDT yang mendominasi aksi di babak pertama mendapat peluang keemasan seawal minit kesembilan menerusi peledak berbisa, Bergson Gustavo Da Silva.

Percubaan penyerang kelahiran Brazil itu dari luar kawasan penalti sudah berjaya memperdayakan Kevin Ray Mendoza tetapi bola sekadar singgah di tiang gol.

Kevin Mendoza kemudiannya bertindak cemerlang ketika perlawanan memasuki minit ke-37 apabila beliau pantas berada di kedudukan yang baik untuk menafikan tandukan Mauricio Nascimento susulan sepakan percuma diambil Arif Aiman Hanapi.

Tandukan Safawi Rasid berselang seminit kemudian ketika situasi sepakan penjuru dan rembatan padu Bergson dari luar kawasan penalti diledakkannya pada minit ke-43 juga mudah ditangkap penjaga gol skuad kebangsaan Filipina itu.

Aksi babak kedua lebih menarik untuk diperkatakan apabila Kuala Lumpur City pula kelihatan mendapat tonik berguna dengan memperkemaskan aksi untuk menguji gawang JDT.

Ia jelas dibuktikan skuad kendalian Bojan Hodak itu apabila Zhafri Yahya berjaya melonjakkan kegembiraan buat kem KL City dengan jaringan pembukaan dijelmakannya pada minit ke-66.

Berpunca daripada hantaran lintang J. Partiban susulan gerakan lincahnya di sebelah kanan pintu gol JDT memberikan ruang yang cukup besar buat Zhafri untuk melepasi kawalan Corbing-Ong sekali gus menolak masuk bola bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Paulo Josue mengukuhkan kedudukan pada minit ke-74 selepas beliau melakukan percubaan kaki kiri yang menewaskan Farizal berikutan umpanan cantik daripada Ryan Lambert.

JDT yang berusaha keras untuk mendapatkan jaringan bagi merapatkan defisit jaringan cuba untuk bangkit tetapi rembatan cantik daripada Nazmi Faiz Mansor digagalkan Kevin Mendoza.

Kevin juga cemerlang dalam menafikan percubaan akrobatik pemain gantian, Syafiq Ahmad pada lewat permainan untuk memastikan kemenangan mutlak milik KL City sekali gus menamatkan penantian selama 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia.

 

 

 

 

 

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group