Pemilik  Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham menuntut para pemain mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya Liga Super musim ini sebagai syarat untuk mendapat gaji penuh.

Menerusi kenyataannya di laman facebook, beliau tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu yang hanya mampu raih satu kemenangan selepas mengharungi 10 perlawananb Liga Super.

Disebabkan itu, gaji pemain terpaksa dipotong 50 peratus sekaligus menimbulkan pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Jelas ZamSaham, beliau akan membayar gaji penuh dan juga bonus KPI sekiranya dapat memberikan dua kemenangan bagi aksi berikutnya.

“Pasal pemain kena potong 50% dan tak dapat KPI. 10 kali kalah, satu kemenangan dan satu seri. No.13 dalam liga. Nak KPI penuh? Nak gaji penuh?”

“Berikan saya dua kemenangan dan 50% yang ditahan akan dibayar penuh. Anda ada komitmen dan saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi. Pekerja baik kita kekalkan. Mana prestasi buruk, kita buang,” katanya.

Difahamkan kemungkinan pasukan itu bakal diheret ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas seorang ejen tempatan mendedahkan tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab itu.

Walaupun tidak mendedahkan nama pasukan itu, namun dipercayai ia sebuah kelab yang berpengkalan di Pantai Timur atau lebih tepat Kelantan FC.

“Dah minta peguam panjangkan ke JK (Jawatankuasa) Tatatertib FAM. Kebal sungguh pasukan ini.

“Cakap b*** pun terbang. Kita tengok sekebal mana pasukan ini. Dah panjangkan ke JK Tatatertib. Kita nilai tengok,” kata ejen berkenaan di Twitter miliknya yang lebih dikenali dengan panggilan Joe Berbatov.