Sebuah kelab dari Pantai Timur dikhabarkan bakal dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain dalam masa terdekat.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana beliau memberi respon terhadap kenyataan salah seorang ejen bola sepak dalam negara iaitu Joe Berbatov.

Joe membuat kenyataan bahawa beliau membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai satu pasukan Liga Super namun ejen tersebut tidak mendedahkan nama pasukan yang dimaksudkan.

Ramai peminat yang berteka-teki mengenai pasukan dari Pantai Timur mana yang bakal dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain.

Dua pasukan iaitu TRW Kelantan dan Kelantan United sedang bergelut dalam saingan Liga Super ketika ini dimana mereka menduduki tangga ke-13 dan ke-14.

TRW Kelantan setakat ini hanya mampu mencatat satu kemenangan manakala Kelantan United masih mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super.

Seterusnya ada pasukan Terengganu yang menampilkan prestasi tidak konsisten setakat ini. Terengganu menghuni tangga ke-8 setelah mengutip 13 mata.

Pasukan terbaik dari Pantai Timur ketika ini ialah Sri Pahang dimana skuad bimbingan Fandi Ahmad ketika ini menduduki tangga ketiga, meraih sama mata dengan Selangor yang menduduki tangga kedua dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Hukuman sekatan perpindahan pemain ini biasa dikenakan terhadap pasukan yang gagal untuk membayar gaji pemain sedia ada dan bekas pemain.

Ada aduan yang dihantar ke FAM serta dua badan lain iaitu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekaligus pasukan yang gagal membayar gaji bakal dikenakan hukuman tersebut.