Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham berkongsi pelan untuk pusat latihan pasukan itu yang bakal dibina tidak lama lagi.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham menunjukkan pelan kepada semua peminat selepas berjumpa dengan arkitek yang ditugaskan untuk membuat rekaan bagi pusat latihan baru itu.

Dalam rekaan yang ditunjukkan, pusat latihan baharu Kelantan bakal memiliki dua padang seluas lapan ekar selain dilengkapi dengan cafe dan juga kabin.

Sebelum ini, Norizam memohon doa kepada semua peminat Kelantan agar beliau menang kes saman terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan beliau mahu menggunakan wang itu untuk menaik taraf fasiliti sedia ada.

Norizam menjawap soalan yang diajukan oleh peminat dalam satu perjumpaan di Kota Bharu baru-baru ini.

Zamsaham berkata, soal KWSP dan PERKESO pula, dia mengakui pengurusan mempunyai masalah kewangan dengan tunggakan lebih RM400,000 bagi pembayaran dua caruman itu.

Katanya, industri bola sepak Malaysia bukan menguntungkan begitu juga TRW belum membuat keuntungan selepas dia mengambil pasukan ini pada 2020.

“Lima tahun belum tentu buat untung, banyak awak kena korbankan masa, wang lepas jadi profesional mungkin baru untung.

“Kita berbelanja tak kurang sejuta sebulan dan pendapatan kita RM800,000, kita sebenarnya rugi, kita ada dua pilihan bayar gaji dulu, atau bayar EPF, tapi kita dah mula bayar sebab kalau tak bayar tak dapat sambung lesen, kita tak buat, sebab kelab tak untung,” katanya menurut laporan Berita Harian.