Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham menegaskan beliau mahu membuat padang latihan baharu untuk pasukan tetapi menunggu selepas proses saman terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Menurut perkongsian di laman media sosial Facebook miliknya, Norizam memohon doa kepada semua peminat Kelantan agar beliau menang kes saman terhadap KAFA dan beliau mahu menggunakan wang itu untuk menaik taraf fasiliti sedia ada.

Pasukan Kelantan ketika ini menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air selepas satu demi satu pemain dan bekas pemain pasukan itu membuat pendedahan mengenai apa yang berlaku antara mereka dan pihak pengurusan.

Sebelum ini, bekas penjaga gol pasukan, Farhan Abu Bakar menyifatkan pengurusan pasukan itu sebagai tidak berperikemanusiaan selepas kereta beliau ditarik oleh pihak bank dan meminta bantuan kepada pihak pengurusan.

“Jadi bila saya hubungi bahagian kewangan pasukan, mereka boleh pula suruh saya mohon wang pendahuluan, sedangkan yang saya minta itu gaji saya.

“Itu baru cerita pasal diri saya, belum lagi pemain-pemain lain. Saya boleh cakap, tak ada satu pun benda baik yang saya boleh kongsi pasal pengurusan.

“Dia seolah tak ada berperikemanusiaan. Ada juga pasukan lain yang saya main sebelum ini berdepan masalah gaji tetapi mereka ada sikap perikemanusiaan,” katanya.

Zamsaham kemudiannya menjawap segala tuduhan yang dilontarkan terhadap beliau dan pasukannya dimana dia menafikan pihaknya menolak gaji pemain.

“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar 2 bulan gaji tertunggak.

“Tapi ini bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan. Main betul-betul sungguh. Saya bukan tolak, saya tahan. Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dgn kemenangan. Kalau tak menang seri pun jadilah. Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih.

“Untuk perlawanan minggu ini, berikan yang terbaik dan kemenangan. Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah,” katanya.