Bekas ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dilaporkan menjadi salab satu calon bagi mengisi jawatan penolong ketua jurulatih pasukan kebangsaan sekaligus membantu Kim Pan-gon.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Stars, T.Avineshwaran dimana selain Zainal, dua lagi jurulatih tempatan yang dikhabarkan turut berada dalam senarai ialah ketua jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan dan pembantu jurulatih Penang, Manzoor Azwira.

Sebelum ini, dua nama jurulatih muda iaitu pengendali Terengganu, Nafuzi Zain dan pembantu jurulatih Selangor, Nidzam Jamil dilaporkan menjadi pilihan bagi menjadi pembantu kepada Pan-gon.

Namun, kedua-dua jurulatih menolak untuk menerima tawaran tersebut kerana menghormati kontrak sedia ada yang telah ditandatangani dan mahu fokus bersama pasukan yang dikendalikan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Zainal Abidin merupakan salah seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia dimana beliau pernah mengendalikan beberapa kelab dan pernah memenangi kejuaraan di peringkat domestik.

Antara pasukan yang pernah dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan ialah Sri Pahang, Shahzan Muda, Selangor, Penang dan kelab terakhir yang dibimbing oleh jurulatih berusia 60 tahun itu ialah Melaka United.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya memberi kebebasan kepada Pan-gon untuk memilih mana-mana jurulatih dalam negara bagi menjadi pembantu kepadanya.

FAM sebagai badan induk bola sepak negara akan membantu dari segi berbincang dengan pasukan sekiranya Pan-gon telah memilih jurulatih dari kalangan jurulatih tempatan untuk membantu beliau menguruskan pasukan kebangsaan.

Kim Pan-gon akan tiba di Malaysia pada bulan ini dan beliau akan membawa empat pembantu iaitu iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Pan-gon barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Nidzam Jamil Hormati Kontrak Bersama Selangor, Lepaskan Peluang Sertai Skuad Kebangsaan

Nafuzi Zain Nafi Hantar Permohonan Untuk Jawatan Pembantu Jurulatih Harimau Malaya

Selangor Lancar Jersi ‘Away’ Musim 2022 Sempena Solidariti Bersama Pesakit Kanser Di Dunia