Pembantu jurulatih Selangor, Nidzam Jamil menghormati kontraknya bersama skuad Gergasi Merah sekaligus menolak untuk menyertai staf kejurulatihan pasukan kebangsaan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Nidzam menarik diri daripada menerima jawatan sebagai pembantu kepada Kim Pan-gon kerana baru sahaja mengikat kontrak bersama Selangor.

Nidzam Jamil menjadi salah satu jurulatih muda dalam saingan Liga Malaysia yang menjadi pilihan ramai untuk membantu Pan-gon bagi menguruskan pasukan kebangsaan.

Selain Nidzam, ketua jurulatih Teren, Nafuzi Zain turut menjadi pilihan kerana kedua-dua jurulatih ini mempunyai pengalaman luas dalam saingan liga domestik dan corak permainan yang diterapkan mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Sama seperti Nidzam, Nafuzi turut melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Harimau Malaya kerana fokus beliau adalah bersama Terengganu bagi menghadapi saingan musim 2022.

Setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata seramai 10 jurulatih tempatan menyatakan minat bagi menjadi pembantu kepada Pan-gon.

“Selain nama besar, nama kecil, nama panjang dan nama pendek pun ada. Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih dan perkara itu akan dimuktamadkan bila dia (Pan Gon) sampai sebab dia perlu berjumpa dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.

“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak,” katanya.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyatakan Pan-gon akan tiba di Malaysia pada bulan ini dan beliau akan membawa empat pembantu iaitu iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Pan-gon barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Selangor Terima Suntikan Penajaan RM3.5 Juta Daripada TDC Holdings

K. Devan Yakin Matheus Alves Mampu Beri Impak Kepada Negeri Sembilan