Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan peningkatan daripada anak buahnya menjelang baki saingan Liga Premier selepas melakukan persiapan yang lebih menyeluruh berbanding semasa mereka mula dilkumpulkan pada Februari lalu.

Sudah dapat mengesan kemajuan teknikal dan fizikal dalam kalangan pemain, Yusri mahu melihat anak-anak buahnya tidak lagi gentar ketika berdepan pemain-pemain senior serta import yang mempunyai tahap permainan berbeza.

Namun begitu, Yusri tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain-pemain dalam mendapatkan kemenangan tetapi boleh memperbaiki beberapa kelemahan ketara yang terpancar semasa melalui 11 perlawanan terdahulu di Liga Premier.

“Selepas lima bulan dikumpulkan sejak Februari lalu, bulan lalu boleh saya katakan seperti pra musim pertama buat pasukan kerana kami hanya sempat bersama beberapa minggu sahaja sebelum liga bermula.

“ Selepas Hari Raya Aidilfitri tempoh hari, kami belum hadapi mana-mana perlawanan lagi dan tempoh ini amat baik kepada kami lakukan persiapan yang telah memasuki tempoh sembilan minggu ini.

“ Jika dilihat perlawanan-perlawanan dahulu, mereka kerap beri laluan mudah kepada pesaing dalam liga serta lepaskan jaringan berturut-turut dalam tempoh yang singkat selain pada awal serta akhir minit permainan.

“ Dengan latihan yang sistematik, saya sudah nampak lebih 50 peratus pemain dalam skuad ini telah pamerkan pemahaman taktikal yang amat ketara dan aspek kecergasan, jadi saya perkara ini dapat diterjemahkan kepada saingan liga nanti, “katanya.

Skuad Projek FAM-MSN kini menduduki tangga terakhir Liga Premier selain belum meraih sebarang kemenangan setakat ini apabila sekadar meraih dua keputusan seri daripada 11 perlawanan.

Pasukan ini sering kali mencatat kekalahan besar kepada kebanyakan pasukan seperti Terengganu FC II (1-6), Sarawak United (1-7) dan Johor Darul Ta’zim II (0-5) yang sering kali mengundang kritikan orang ramai.

Situasi itu bagaimanapun diterima dengan hati terbuka oleh Yusri kerana baginya, setiap peminat pasti mempunyai persepsi tersendiri dalam memberikan pendapat.

Cuma beliau mengharapkan orang ramai boleh bersikap lebih positif serta memberikan cadangan yang lebih membina dengan melihat masa depan pemain-pemain muda ini masih jauh dalam pentas bola sepak negara.

“ Para pemain saya adalah manusia biasa dan ada kalanya mereka juga terkesan dengan kata-kata netizen namun bagi saya, saya faham semua orang ada persepsi tersendiri kepada pemain-pemain skuad projek ini.

“ Cuma saya harapkan orang ramai janganlah terus menerus menghukum mereka kerana dibimbangi jika situasi ini berterusan, kita bimbang mereka boleh hilang dari sukan bola sepak untuk melangkah lebih jauh.

“ Mereka ini merupakan rangka pertama skuad projek untuk dibwa ke peringkat lebih tinggi dan seandainya kita sentiasa berikan kata-kata positif yang menjurus kepada persembahan pemain, saya rasa ini akan mewujudkan persekitaran yang baik buat mereka.

“ Janganlah semasa mereka bagus nanti, kita baharu hendak bagi sokongan namun semasa di bawah, kita berikan kata-kata yang negatif, sebaliknya cuba kita berikan ayat-ayat positif kepada pemain.

“ Pesan saya kepada pemain, anda semua masih muda dan janganlah terlalu kerap membaca mesej-mesej negatif di media sosial kerana kelak ia sekadar menimbulkan kegusaran dalam keperibadian kamu untuk melangkah jauh dan buat masa sekarang, terus berusaha di atas padang sehingga satu hari nanti anda boleh buktikan kepada semua, ” tambah Yusri Che Lah lagi.

Baca artikel lain mengenai Skuad Projek FAM-MSN ini:

Ong Kim Swee: Kita Perlu Beri Bimbingan Buat Skuad Projek FAM/MSN

Rosli Hussein: Skuad Projek FAM/MSN Mampu Harungi Liga Dengan Positif

Lim Teong Kim: Mana Boleh Samakan Skuad Projek FAM-MSN Dengan Harimau Muda