Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee tampil mempertahankan penyertaan skuad Projek FAM/MSN dalam saingan Liga Premier Malaysia musim ini.

Pendapat terbaharu daripada Kim Swee itu jelas bercanggah dengan beberapa pemerhati bola sepak tempatan dan tidak terkecuali Lim Teong Kim yang cukup lantang mengkritik kewujudan pasukan ini.

Memetik laporan dikeluarkan Bernama, Kim Swee yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM bagi menggantikan Peter de Roo pada Januari lalu melihat penyertaan skuad kendalian Yusri Che Lah itu perlu diteruskan.

Langkah itu perlu diambil dalam usaha untuk memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak tanah air.

Sehubungan dengan itu, Kim Swee juga turut menolak idea drastik sesetengah pihak yang mahu skuad tersebut dibubarkan.

Namun dalam masa yang sama, Kim Swee melihat perancangan lebih jitu perlu direncanakan dalam memantapkan hala tuju projek ini.

“Memang rancang hendak kekalkan [skuad Projek FAM/MSN], projek ini saya rasa takkan bubar tapi perancangan projek ini mungkin akan difikirkan hala tujunya, mungkin main dalam Liga Super selepas ini,” ujar Datuk Ong Kim Swee bercakap kepada wakil Bernama.

“Kita tidak boleh ada program setahun dan bubar, ini program remaja, tidak masuk akal [sekiranya dibubarkan].”

Selain itu, Datuk Ong Kim Swee turut meminta para penyokong bola sepak tanah air supaya lebih bersabar dan memberikan ruang kepada pemain-pemain muda tersebut.

“Moral pemain agak negatif selepas mengalami kekalahan demi kekalahan, namun kita perlu beri bimbingan dan pendedahan. Mereka masih lagi baharu dalam liga, pasukan lain sudah tentu sasar layak ke Liga Super, namun tidak bagi kami buat masa sekarang.”

“Kami mahu mendedahkan kepada mereka dalam saingan kompetitif, kerana orang ramai perlu faham tujuan program ini kekal sehingga ke Kelayakan Sukan Olimpik 2024.

“Jika dapat dua hingga tiga orang yang terpilih pun sudah baik, daripada tiada apa-apa langsung,” tambah Kim Swee lagi.

Baca artikel lain mengenai kewujudan Skuad Projek FAM/MSN:

Rosli Hussein: Skuad Projek FAM/MSN Mampu Harungi Liga Dengan Positif

Azraai Khor Abdullah: Liga M3 Atau Piala Presiden Lebih Baik Buat Skuad Projek FAM-MSN

Lim Teong Kim: Mana Boleh Samakan Skuad Projek FAM-MSN Dengan Harimau Muda

Sumber