Bekas pengendali Kelantan, Yusri Che Lah kembali diberi tanggungjawab untuk membimbing skuad The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerusi Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan yang berpenndapat Yusri adalah individu yang sesuai untuk menggantikan jurulatih sebelum ini, Marko Kraljevic yang ditamatkan kontrak.

Kraljevic
Sumber Gambar: Sinar Harian

“Selepas ketiadaan Kraljevic bersama pasukan baru-baru ini, saya meminta Yusri kembali mengendalikan pasukan bagi persiapan perlawanan seterusnya.

“Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu sudah menandatangani kontrak semalam dan memulakan tugas sebaik sahaja tamat menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Kuala Lumpur.

“Saya berharap barisan pemain dapat bekerjasama dengan Yusri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan pada pertengahan Liga Malaysia musim lalu bagi menggantikan Fajr Ibrahim yang melarikan diri. Namun beliau gagal untuk menyelamatkan pasukan daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana musim ini.

Sebelum Liga Malaysia 2019 membuka tirai, Yusri dikhabarkan telah bersetuju untuk kekal bersama Kelantan. Akan tetapi, apabila beliau pulang dari mengerjakan umrah, Yusri menandatangani kontrak bersama pasukan Kuala Lumpur.

Yusri KL
Sumber Gambar: KL Hawks

Setelah Kuala Lumpur mengalami enam kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super, Yusri Che Lah mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih.