Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez memilih untuk tidak menyalahkan anak buahnya yang tewas 1-3 pada aksi La Liga 2022/23 bertemu seteru ketat, Real Madrid di Santiago Bernabeu, malam tadi.

Sebaliknya beliau sendiri mengambil sepenuhnya tanggungjawab tersebut dimana kedudukan teratas yang dipegang sebelum ini kembali menjadi milik Real Madrid.

Meskipun Barcelona dilihat lebih menguasai aksi El Clasico itu, Real Madrid jelas prolifik dihadapan gol lawan apabila berjaya menghasilkan dua gol pada babak pertama menerusi Karim Benzema dan Federico Valverde.

Ketika Ferran Torres memberikan sedikit harapan selepas merapatkan jurang pada minit ke-83, hadir pula Rodrygo Goes untuk mematikan api perjuangan buat The Blaugrana.

“Kami perlu mengkritik diri sendiri ekoran kekalahan ini. Kami sama sekali tidak melakukannya dengan baik,” ujar Xavi menurut laporan dikeluarkan Barca Blaugranes.

“Kami berada pada keadaan yang sangat teruk dan kami perlu mengubah keadaan tersebut dengan segera. Saya berasa sangat teruk dan kecewa. Kami tidak agresif seperti sepatutnya.”

“Saya tidak fikir Real Madrid telah menewaskan kami dalam keadaan intensiti tetapi pada pandangan saya kerana kematangan mereka.”

“Mereka tahu bagaimana untuk bersaing dengan lebih baik. Mereka menjadi pasukan yang lebih lengkap dan matang berbanding kami pada ketika ini.”

“Saya tidak akan sesekali menyalahkan para pemain. Perkara itu tidak akan berlaku. Saya adalah kapten kapal ini dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” tambah Xavi lagi.