Real Madrid kembali melonjak ke tangga teratas saingan La Liga 2022/23 selepas berjaya menumbangkan musuh tradisi, Barcelona 3-1 pada aksi ‘El Clasico’ yang berlangsung di Santiago Bernabeu, sebentar tadi.

Kejayaan manis yang dicatatkan di laman sendiri itu melebarkan rekod kemenangan Real Madrid ke atas Barcelona kepada 101 perlawanan (Barcelona menang 97 perlawanan) dimana kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 250 kali dalam semua pertandingan.

Raphinha bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah seawal minit kelima tetapi percubaan jarak jauh dilakukanya mudah ditangkap penjaga gol, Andriy Lunin.

Real Madrid yang kemudiannya tampil dengan lebih kemas berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi peledak berbisa, Karim Benzema.

Berpunca daripada percubaan awal Vinicius Junior dihalang Marc-Andre ter Stegen, Benzema yang tidak dikawal pertahanan Barcelona melakukan rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti untuk meletakkan Los Blancos dihadapan.

Sandaran utama pasukan pelawat, Robert Lewandowski terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-25 selepas beliau melakukan kuisan meliar hantaran Raphinha ketika pintu gol sudah pun terbuka luas.

Federico Valverde melebarkan kedudukan berselang 10 minit kemudian apabila pemain skuad kebangsaan Uruguay itu meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti setelah menerima hantaran ‘cutback’ daripada Ferland Mendy.

Memasuki minit ke-52, Benzema hampir menjadikan kedudukan 3-0 tetapi jaringannya dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Barcelona berjaya merapatkan defisit jaringan ketika permainan memasuki minit ke-83 menerusi pemain gantian, Ferran Torres tetapi Rodrygo mematikan api perjuangan skuad kendalian Xavi Hernandez itu hasil sepakan penalti yang disudahkannya di masa kecederaan.

Lebih manis buat Real Madrid pada perlawanan ini ialah mereka berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Barcelona selepas mengharungi sembilan perlawanan liga setakat ini.

Real Madrid yang mencatatkan lapan kemenangan dan satu keputusan seri kini mengumpul 25 mata, berkelebihan tiga mata dibelakang kelab dari Catalan tersebut.