Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan mengakui hakikat bahawa tonggak pertahanan, Herold Goulon sebenarnya boleh beraksi pada aksi Liga Super Malaysia 2022 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Seperti yang dapat disaksikan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, Goulon bagaimanapun langsung tidak disenaraikan dalam senarai 20 pemain.

Sehubungan dengan perkara tersebut, Devan tampil mendedahkan alasan beliau yang tersendiri untuk tidak menurunkan Goulon walaupun khidmat pemain import dari Perancis itu amat ditagih bagi mengekang asakan hebat jentera serangan JDT.

“Herold Goulon mengalami kecederaan pangkal peha. Jadi, Dia boleh bermain pada perlawanan ini,” ujar K. Devan bercakap dalam sidang media menurut sumber video wartawan Malaysian Football League.

“Mungkin sekiranya beliau bermain mungkin kecederaan itu akan lebih serius. Oleh itu kita tak dapat menurunkan dia untuk perlawanan akan datang.”

“Jadi, kita rehatkan dia untuk memberikan tumpuan pada perlawanan akan datang.”

Secara dasarnya tindakan Devan untuk merehatkan Goulon adalah satu keputusan yang boleh diterima pakai kerana seperti diketahui Negeri Sembilan masih berada di landasan tepat untuk merebut slot ke Piala AFC 2023.

Apatah lagi skuad Rusa hanya kekurangan satu mata di belakang pasukan tangga kedua, Sabah dan terikat mata dengan Terengganu.

Satu keadaan yang menunjukkan Negeri Sembilan perlu tampil dengan barisan terkuat untuk merealisasikan impian ke kancah Asia.

Dengan aksi yang masih berbaki tiga perlawanan, khidmat Goulon seharusnya menjadi keutamaan buat Devan dalam mengepalai barisan pertahanan Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan akan melayani kunjungan Kedah pada 7 Oktober dan Melaka United berselang empat hari kemudian. Manakala, Sri Pahang menanti di Stadium Darul Makmur untuk perlawanan terakhir yang dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober.