Pertahanan Negeri Sembilan FC, Herold Goulon, menjadi antara pemain paling menyerlah pada saingan Liga Super minggu keenam selepas terus konsisten menjadi penyumbang jaringan buat pasukan.

Walaupun bertindak selaku pertahanan, kemampuan Goulon untuk menjadi aset penting pada situasi bola mati menjadi salah satu kekuatan utama skuad Hobin Jang Hobin, musim ini.

Dia menjadi salah seorang pemain pilihan dalam Best XI untuk minggu keenam Liga Super oleh penganalisis Liga Malaysia, Syed Adney Syed Hussein.

“Goulon sudah berjaya mendapatkan prestasi yang sama ketika bersama Sri Pahang jika kita lihat persembahannya bersama Negeri Sembilan.

“Dia telah banyak menjaringkan gol untuk pasukan dan daripada segi disiplin bertahan, Negeri Sembilan nyata kuat dengan kehadiran Goulon.

“Selain itu, bahagian tengah saya memilih Nor Azam Azih yang begitu meningkat prestasinya sejak kebelakangan ini.

“Kita tahu pergerakan dan hantaran Azam sangat berkualiti, kualiti itu menjadi punca utama di sebalik kemenangan Sri Pahang ke atas Penang FC,” katanya.

Berdasarkan formasi 3-5-2, tiga pemain pertahanan yang dipilih bersama Goulon ialah Shahrul Nizam Ros Hasni ( Terengganu FC) dan Jackson de Souza (Sabah FC) manakala penjaga gol, Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).

Bagi pemain tengah, lima pemain yang bersama Nor Azam ialah Park Tae-su ( Sabah FC), David Rowley (Sri Pahang FC), Nur Shamie Iszuan (Sarawak United FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC).

Dua penyerang yang menjadi pilihan Syed Adney ialah Francis Kone ( Sarawak United FC) dan Amri Yahyah (Sabah FC) sementara jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC).

Dalam masa sama, Syed Adney turut kagum dengan prestasi Amri yang disifatkan berjaya pamerkan prestasi paling menyerlah sejak bersama Sabah musim lalu.

“Musim ini saya fikirkan Amri akan lebih menyerlah kerana di kelilingi ramai pemain berkualiti dan ini akan buka ruang kepada dirinya mendapat peluang lebih baik untuk menjaringkan gol.

“Dengan kredibiliti Datuk Ong serta berdasarkan apa dia tunjukkan, saya rasa dia akan kerap diturunkan bagi membantu Sabah sepanjang musim ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Berusia 41 Tahun, Amri Yahyah Tiada Masalah Ledak Hatrik Bantu Sabah ‘Tibai’ Kedah 4-0

CEO Terengganu FC Terkilan MFL Ubah Jadual Tanpa Berbincang Dengan Rakan Kongsi

Ultras Dan Kelab Penyokong Kedah Terima Dana Daripada KFA Beli Peralatan Muzik

Minyak Masak ALIF Diumumkan Sebagai Penaja Baharu Liga Malaysia 2022

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan