Menjelang aksi final Piala AFC pada 22 Oktober ini yang menemukan Kuala Lumpur City (KL City) menentang kelab dari Oman, Al Seeb, penyokong bola sepak tempatan baru-baru ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan waktu sepak mula jam 7 malam yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ia dianggap tidak menjaga sensitiviti umat Islam kerana perlawanan berlangsung ketika azan Maghrib berkumandang sekaligus menimbulkan masalah buat penyokong yang ingin hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mereka turut merayu agar AFC dapat mengubah waktu sepak mula kepada jam 7.30 atau 8.00 malam untuk memudahkan urusan penyokong serta pemain menunaikan solat maghrib.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menjelaskan pihaknya sudah berbincang untuk mengubah waktu sepak mula tetapi permintaan mereka telah ditolak oleh AFC.

“Ianya di luar kawalan kami.

“Kami sudah berbincang supaya perlawanan itu dapat dimulakan lewat sedikit tetapi atas sebab-sebab tertentu, AFC memutuskan perlawanan tetap berlangsung pada pukul 7 malam. Kita terpaksa akur.

“Stadium mungkin akan nampak penuh selepas waktu solat maghrib,” kata Khalid.

Beliau turut mendedahkan lebih 10,000 tiket perlawanan akhir itu telah terjual sejak dibuka dalam talian isnin lepas. Pihaknyaย menyasasarkan kira-kira 25,000 penyokong akan hadir.

Difahamkan harga tiket kembali naik kepada RM40 selepas ini. Namun, para penyokong sempat mendapatkannya dengan harga promosi sebanyak RM30 yang bermula 17 Oktober hingga semalam (19 Oktober).

Bagaimanapun, tiket tersebut hanya dijual secara dalam talian menerusi laman webย www.tickethotline.com.myย dan setakat ini tiada jualan secara fizikal di kaunter stadium.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu tinggal selangkah lagi untuk mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2015.

Lebih menarik, KL City juga berpeluang beraksi di AFC Champions League (ACL) 2023 sekiranya mereka muncul sebagai juara Piala AFC 2022.

Menurut article 3.6 dalam buku peraturan AFC, pemenang Piala AFC akan diberi satu slot kelayakan play-off ke ACL walaupun mereka tidak layak menerusi kejuaraan Liga Domestik.