Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Menjelang aksi final Piala AFC yang menemukan Kuala Lumpur City (KL City) menentang kelab dari Oman, Al Seeb, penyokong bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak puas hati dengan waktu sepak mula jam 7 malam yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Artikel Berkaitan:

Ia dianggap tidak menjaga sensitiviti umat Islam kerana perlawanan berlangsung ketika azan Maghrib berkumandang sekaligus menimbulkan masalah buat penyokong yang ingin hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Justeru itu, mereka merayu agar pengurusan KL City dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat berbincang dengan AFC agar mengubah waktu sepak mula kepada jam 8 atau 8.30 malam untuk memudahkan urusan penyokong serta pemain.

“Tolong lah minta rayuan kick-off afc cup sabtu ni esok untuk diubah sebab 7 malam kena ingat dah lah time waktu azan maghrib and solat sekurang-kurangnya 7.45 minit malam atau 7.30 minit malam itulah waktu paling sesuai kick off,” kata Zani Syaputra di ruang komen laman facebook rasmi KL City.

Turut meluahkan pendapat ialah pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Shari yang berharap AFC tangguh waktu sepak mula sekurang-kurangnya jam 7.30 malam untuk menghormati azan maghrib.

Seorang lagi penyokong setia KL City, Nizam Archibald turut mengkritik tindakan AFC menetapkan jam 7 malam sebagai waktu sepak mula perlawanan itu.

“Hai AFC, kenapa perlawanan bermula jam 7 malam? Tukar kepada 9 malam atau sekurang-kurangnya 8 malam lah,” tulisnya dalam bahasa inggeris menerusi laman twitter.

Ada juga berpendapat keadaan serta waktu sepak mula 7 malam ini bakal mengurangkan bilangan penyokong ke stadium kerana ia dilihat terlalu awal untuk tiba ke stadium kerana mereka kebiasaannya  solat di rumah dan masjid terlebih dahulu.

Sejak semalam, jualan tiket telah dibuka untuk pembelian para penyokong.

Difahamkan harga asal tiket tersebut ialah RM50 namun penyokong boleh mendapatkannya dengan harga promosi sebanyak RM30 bermula 17 Oktober hingga hari rabu (19 Oktober).

Bagaimanapun, tiket tersebut hanya dijual secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my dan setakat ini tiada jualan secara fizikal di kaunter stadium.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu tinggal selangkah untuk mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2015.