Ketua jurulatih skuad futsal Sabah, Wahyu Kocoy menyifatkan barisan pemain dimilikinya pada ketika ini mempunyai kekuatan untuk bersaing hebat dengan pasukan-pasukan besar dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021.

Pengendali kelahiran Indonesia yang sudah sebulan membimbing skuad Sabah itu  jelas tertarik melihat keinginan tinggi para pemainnya untuk menghadirkan kejayaan buat pasukan.

Melihatkan kepada persiapan rapi dirangka pengurusan pasukan, Sabah dilihat mampu untuk menghadirkan ancaman besar buat dua kelab pilihan, Selangor Mac yang merupakan juara bertahan serta skuad himpunan bintang, Pahang Rangers.

Kali terakhir beraksi di pentas tertinggi futsal tanah air pada musim 2015, Sabah kali ini mempertaruhkan beberapa nama besar seperti Yazid Kamaruzuan, Iqhmal Najmie Ismail, Syawal Sabaruddin, Razin Rahim, Sofian Kariansah dan Shamar Fadzil.

Sudah sebulan saya bersama pasukan Sabah, saya melihat pasukan ini memiliki kekuatan yang cukup baik,” ujar Wahyu ketika dihubungi wakil Vocket FC.

” Mereka [pemain Sabah] mampu untuk bersaing menentang pasukan-pasukan besar dalam saingan MPFL berbekalkan dengan sesi latihan tersusun dan persiapan yang rapi.”

Sabah Futsal Team

“Antara perkara yang menyebabkan saya memilih untuk menyertai Sabah adalah sasaran pasukan dan juga keseriusan pengurus dalam mempersiapkan skuad ini.”

“Ia ditambah lagi dengan kerjasama baik ditampilkan barisan kejurulatihan dan pengurusan tertinggi pasukan.”

Selain itu, dalam mengulas kehadiran pemain import berpengalaman dari Brazil, Rudimar Venancio atau lebih mesra dengan panggilan Xapa, Wahyu menuntut sumbangan besar daripada pemenang tiga kali Kejuaraan Futsal Kelab AFC itu.

“Besar harapan saya untuk melihat Xapa dapat menyesuaikan diri dengan baik dan memberikan impak tinggi buat pasukan berbekalkan pengalaman luas dimiliki beliau.”

“InsyaAllah, diharapkan juga Sabah mampu untuk menepati sasaran realistik yang diletakkan iaitu berada di kelompok tiga pasukan teratas musim ini,” tambah Wahyu Kocoy lagi.

Baca artikel lain dari kami mengenai sukan futsal:

Kembali Daripada Menyepi, Futsal Sabah Bakal Dapat Sentuhan Pemain Brazil

Beralih Ke Futsal, Shahrom Kalam Bakal Sertai Selangor Tot United?

Impak PKP, Akademi Futsal Di Manjung Ini Ambil Inisiatif Jual Ayam Goreng