Skuad futsal Sabah akan kembali bersaing dalam kancah liga futsal tanah air apabila disahkan bakal menyertai kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 yang dijangka berlangsung Jun nanti.

Perkembangan tersebut sekali gus menamatkan penantian para penyokong setia yang kali terakhir melihat Sabah beraksi di pentas Liga Futsal Kebangsaan [sebelum MPFL diperkenalkan] 2015.

Sejajar dengan penampilan semula pasukan tersebut pada musim ini, terdapat pembaharuan yang dilakukan apabila para pemain akan berpusat dan menjalani latihan di Lembah Klang.

Perkara itu sudah pasti memudahkan segala urusan termasuklah dalam aspek penjimatan kos kerana kempen liga pada musim ini dilaporkan akan diadakan secara karnival di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Tinjauan yang dilakukan wakil Vocket FC sewaktu perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab futsal amatur terkenal tanah air tempoh hari menyaksikan kelibat beberapa pemain kebangsaan seperti Yazid Kamaruzuan, Iqhmal Najmie Ismail dan Syawal Sabaruddin bersama pasukan.

Sama seperti skuad Liga Super, futsal Sabah juga bakal mendapat sentuhan daripada Indonesia apabila Wahyudin Kocoy yang berpengalaman dalam membimbing kelab Liga Pro Indonesia bakal bertindak selaku ketua jurulatih.

Beliau tidak berseorangan apabila ditemani jurulatih penjaga gol, Ade Lesmana yang merupakan legenda futsal negara jiran tersebut serta turut pernah menjadi jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan Indonesia.

Kedua-dua jurulatih yang cukup dikenali di Indonesia itu sudah pun berada di Kuala Lumpur dan sedang menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel.

Selain itu, khidmat pemain import dari Brazil yang pernah menjulang tiga trofi Kejuaraan Futsal Kelab AFC bersama PTT Chonburi Bluewave (Thailand) dan Giti Pasand Isfahan dari Iran , Rudimar Venancio atau lebih mesra dengan panggilan Xapa bakal memperkuatkan skuad Sabah.

Pengalaman luas dimiliki pemain tersebut pasti ditagih untuk menambah kekuatan pasukan yang turut akan dibarisi beberapa pemain skuad kebangsaan dan berbakat besar untuk menyinar.

Ternyata kehadiran semula skuad futsal Sabah ini bakal menjanjikan sesuatu yang lebih menarik untuk menjadi antara pasukan pesaing bagi merebut kejuaraan MPFL musim ini.

Teruskan membaca artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

Syahmi Safari: Persaingan Kompetitif Di Pertahanan Kanan, Komunikasi Amat Penting Cari Keserasian

Ferdinand Kritik Layanan Ke Atas Van De Beek: “Kenapa Beli Dia?”

Syahrian Abimanyu Tingkatkan Tahap Kecergasan, Semakin Hampir Jalani “Debut” Bersama Newcastle Jets