Pada 2017. Hakim Ziyech memutuskan untuk pilih pasuka Maghribi berbanding Belanda sebagai pasukan yang diwakilinya di peringkat antarabangsa.

Tindakan Ziyech itu diperlekehkan ramai pihak di Belanda. Malah ada yang menganggap ianya keputusan yang bodoh diambil Ziyech.

Bekas penyerang kebangsaan Belanda, Marco van Basten ketika itu memujuk Ziyech untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

Ziyech berketurunan Maghribi namun lahir di Belanda. Dia memilih untuk mewakili negara asal nenek moyangnya.

Van Basten mendedahkan, Ziyech menolak untuk mewakili Belanda ketika dia masih lagi bergelar penolong ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Sambil menganggap tindakan Ziyech sebagai memalukan kerana tidak sabar menunggu peluangnya untuk tiba sebagai pemain utama di Belanda suatu hari nanti.

Van Basten berkata: “Ianya memalukan kerana dia tidak ada kesabaran untuk menunggu peluangnya. Dia sudah membuat keputusan untuk mewakili Maghribi. Jadi ianya keputusan yang tepat sebelum ini kita tidak memanggilnya.”

“Sekarang dia benar benar sudah disingkirkan daripada senarai pemilihan kerana dia sudah memutuskan mahu bermain untuk Maghribi yang dibimbing Hervé Renard.”

Ziyech ketika itu tertarik untuk mewakili negara asal ibu bapanya kerana projek yang dibentangkan oleh FA Maghribi. Selain itu keluarganya memang memiliki semangat bangsa Maghribi yang sangat kuat.

Van Basten kemudian mempersoalkan sekali lagi tindakan Ziyech itu.

“Kenapa dia jenis tak boleh menunggung saat dia tiba di sini? Kalau dia sabar, sekarang ini, dia sudah boleh menjadi pemain kebangsaan Belanda.”

“Dia adalah pemain yang sempurna untuk pasukan Belanda. Nolai pasaran dia jika dia bergelar pemain kebangsaan Belanda pasti akan lebih tinggi berbanding Maghribi.”

Van Basten mengesahkan bahawa dia dan beberapa pegawai Belanda yang lain berterusan cuba memujuk Ziyech membuat pusingan U daripada pilih Maghribi. Namun pemain itu sudah membulatkan tekadnya.

Ziyech menjadi pemain yang sangat mengujakan pada masa itu. Dia memenangi Anugerah Pemain Terbaik Belanda pada 2016.

Van Basten menambah: “Alangkah bodohnya kamu pilih Maghribi sedangkan kamu berpeluang untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Belanda.”

Beberapa tahun kemudian, Ziyech ternyata membuat keputusan yang tepat menyertai Maghribi. Dia berjaya beraksi di pentas Piala Dunia bersama Maghribi selepas membantu negara itu layak ke Rusia 2018 sedangkan Belanda kandas di pusingan kelayakan.

Kemudian kini dia beraksi di pentas separuh akhir Piala Dunia 2022.

Jika berjaya mengejutkan Perancis, Ziyech akan berpeluang menjadi juara dunia bersama negara Maghribi.