Pertahanan Perancis, Raphael Varane  telah bercakap pada sidang akhbar  menjelang aksi antara Perancis dan Maghribi, telah menyatakan impiannya mahu melihat negaranya mara ke final sekali lagi.

Dan dia memberikan amaran kepada rakan rakan sepasukan agar tidak termakan umpan Maghribi yang melabel Perancis pasukan pilihan, dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Rabu.

Juara bertahan itu hanya tinggal dua kemenangan lagi untuk menjadi pasukan pertama yang mengekalkan trofi Piala Dunia sejak Brazil pada 1962 selepas mara ke separuh akhir dengan kemenangan sukar ke atas England pada  minggu lalu.

Pemenang akan berdepan dengan Argentina dalam perlawanan akhir, selepas La Abiceleste menewaskan Croatia dalam separuh akhir yang berlangsung sehari lebih awal.

Les Bleus adalah pilihan yang kuat untuk mara ke final, tetapi Varane tidak mengambil mudah terhadap pasukan Maghribi yang hanya dibolosi satu gol dalam perjalanan kempen mereka yang tidak pernah terfikir bahawa mereka akan sampai ke separuh akhir.

Bek tengah Manchester United itu berkata pada sidang akhbar: “Kami mempunyai banyak pengalaman dan tidak akan jatuh ke dalam perangkap mereka, dengan menganggap kami adalah pasukan pilihan.”

“Dengan Maghribi telah mara sehingga ke separuh akhir, ia bukan kerana nasib. Mereka bertahan dengan sangat baik dan ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar.”

“Terpulang kepada kami, dengan pemain berpengalaman kami, untuk terus maju. Kami akan perlu berjuang sangat keras dan kami tidak akan fikir ia perlawanan mudah.”

“Kami perlu memberikan 100 peratus dan berjuang sehingga tamat. Anda perlu mendapat tempat di final.”

Maghribi, pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, seri dengan Croatia pada perlawanan pembukaan kejohanan mereka sebelum menewaskan Belgium, Kanada, Sepanyol dan Portugal.

Mereka terus membawa harapan kedua-dua benua mereka dan dunia Arab di Qatar. Jadi, Varane sudah sedia membantu Perancis menghalang usaha Maghribi ke final.

Varane menjangkakan aksi antara Perancis dan Maghribi akan menjadi sangat sengit, tiada laluan mudah untuk ke final.

Varane berkata: “Saya fikir mereka adalah pasukan yang sangat mantap, sangat sukar untuk diatasi.”

“Mereka menulis sejarah untuk negara mereka sendiri dan mempunyai kekuatan yang menakjubkan sebagai satu pasukan. Mereka mempunyai beberapa senjata yang sangat kuat, bagus dalam serangan balas dan dari set-piece.”

“Kami menjangkakan ia perlawanan yang sangat sukar. Kami tahu tiada peluang kedua. Ini adalah tahap persaingan yang sangat tinggi yang kami sedang hadapi.”

Walaupun Kylian Mbappe menjadi perhatian dalam kejohanan kali ini selepas menjaringkan lima gol, Antoine Griezmann, dengan dua bantuan gol ketika berdepan England, turut membuktikan impaknya.

Varane berkata: “Dia [Griezmann] bermain dengan sebaik mungkin. Ia mempunyai keupayaan teknikal yang menakjubkan dan boleh mengawal tempo perlawanan.”

“Dia mempunyai banyak keyakinan dan membawa banyak perkara kepada pasukan di dalam dan di luar padang.”