Hasrat wakil Asia, Iran untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Dunia 2022 tidak menjadi kenyataan apabila mereka tersingkir selepas tewas tipis 0-1 kepada Amerika Syarikat (USA) di Stadium Al Thumama awal pagi tadi.

Skuad kendalian Carlos Queiroz itu memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tiket ke pusingan 16 namun jaringan tunggal  Christian Pulisic pada minit ke 38 telah memusnahkan segalanya.

Bagaimanapun, Iran harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang dan perlawanan ini dikuasai oleh Amerika Syarikat yang melancarkan serangan bertali arus sejak minit pertama.

Usaha Amerika Syarikat mengandakan asakan membuahkan hasil apabila Pulisic merembat masuk bola umpanan Sergino Dest dalam kawasan kotak penalti sekaligus mendahului 1-0 di separuh masa pertama.

Iran juga nyaris bolos gol kedua pada minit ke 45 namun mereka bernasib baik apabila pengadil membatalkan jaringan tersebut kerana Timothy Weah berada dalam kedudukan ‘offside’.

Iran bangkit lebih garang di separuh masa kedua dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun semua percubaan mereka tersasar serta berjaya ditepis oleh penjaga gol Amerika Syarikat, Matt Turner.

Tiada jaringan dilakukan oleh kedua-dua pasukan di separuh masa kedua dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan kemaraan Amerika Syarikat ke pusingan 16.

“Malangnya bola sepak sentiasa menghukum pasukan yang tidak menjaringkan gol. Secara mudahnya, pasukan yang menjaringkan gol pada separuh masa pertama layak untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kami tidak menjaringkan gol dan kami dihukum dengan keputusan ini. Keputusan seri adalah lebih adil. Tetapi dalam bola sepak, perkataan adil tidak wujud.

“Jika kami menjaringkan gol pada separuh masa kedua, ceritanya mungkin berbeza,” kata jurulatih Iran, Carlos Queiroz di sidang media selepas tamat perlawanan.

Hasil kemenangan tersebut, Amerika Syarikat berada di tangga kedua dalam kumpulan B dengan 5 mata di belakang England dan mereka dijadualkan bertemu gergasi Eropah, Belanda di peringkat kalah mati pada 3 Disember.

Manakala juara kumpulan B, England akan menentang naib juara kumpulan A, Senegal pada 4 Disember 2022.