Dua jaringan pada masa kecederaan memastikan Iran mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Wales pada aksi kedua kumpulan B Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Ahmed bin Ali Stadium, sebentar tadi.

Kemenangan penting itu hadir tepat pada masanya selepas Iran tewas besar ketika bertemu England pada aksi pertama untuk meletakkan wakil Asia itu di kedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata.

Kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan sulung tampil dengan aksi saling berbalas serangan untuk mendapatkan jaringan tetapi penyudah kurang berkesan nyata menghampakan.

Iran mendapat peluang pertama pada seawal minit ketujuh tetapi percubaan leret Sardar Azmoun daripada luar kawasan penalti mudah ditangkap penjaga gol, Wayne Hennessey.

Lima minit kemudian, giliran Wales pula menguji gawang Iran tetapi percubaan Kieffer Moore selepas menerima hantaran lintang Connor Roberts berjaya diselamatkan Seyed Hossein Hosseini.

Kem Iran melonjak kegembiraan pada minit ke-15, namun jaringan yang dilakukan oleh Ali Gholizadeh dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Carlos Queiroz itu tampil dengan lebih tersusun untuk menguasai permainan serta mencipta banyak peluang.

Bagaimanapun, dua percubaan berturut-turut menerusi Azmoun dan Gholizadeh sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-51.

Manakala, tandukan susulan daripada jarak dekat dilakukan Azmoun pula masih sempat ditangkis Hennessey bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Tekanan memuncak dijelmakan Iran semakin sukar dibendung tetapi Hennessey terus cemerlang dalam menafikan rembatan leret dilakukan Saeid Ezatolahi ketika permainan memasuki minit ke-73.

Wales cuba untuk memberikan ancaman pada minit ke-84, namun rembatan padu kaki kiri oleh Ben Davies ditepis keluar Seyed Hossein.

Malang menimpa Wayne Hennessey berselang dua minit kemudian apabila beliau dilayangkan kad merah ketika beliau keluar daripada posisinya dalam usaha untuk menghalang pergerakan Mehdi Taremi.

Keputusan yang dibuat selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) itu juga merupakan kad merah pertama yang dilayangkan oleh pengadil selepas berlangsungnya 17 perlawanan.

Kesempatan bermain dengan kelebihan seorang pemain itu digunakan sepenuhnya oleh Iran untuk memecah kebuntuan pada minit kelapan masa tambahan apabila rembatan jarak jauh pemain gantian, Roozbeh Cheshmi berjaya menerjah gawang Wales.

Bagaikan sudah direntap semangat para pemain Wales ekoran jaringan tersebut, Iran menambah jaringan kedua berselang tiga minit kemudian menerusi Ramin Rezaeian untuk memastikan kemenangan bermakna tersebut menjadi milik mereka.