Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti yakin dengan kemampuan kelab tersebut meskipun bakal menghadapi tugas mencabar dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 bermula September nanti.

Inter Milan yang dibimbing Simone Inzaghi berada dalam kumpulan maut selepas diundi bersama-sama dua pasukan gergasi, Bayern Munich dan Barcelona serta Viktoria Plzen dalam kumpulan C.

Walaupun sedar dengan tugas sukar bakal dihadapi, Zanetti percaya barisan pemain Inter Milan yang diketuai penjaga gol berpengalaman, Samir Handanovic cukup bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut.

“Ia merupakan kumpulan yang sukar, cukup sulit dengan dua pasukan yang tahu bagaimana untuk bermain dengan baik dalam pertandingan ini,” ujar Zanetti menurut laporan Sempre Inter.

“Bayern adalah sebuah pasukan yang sudah sedia mantap, Barca pula dengan Xavi telah menemui keseimbangan dalam pasukannya. Jadi, kami mahu meneruskan kesinambungan daripada musim lalu.”

Inter Milan Ancam Buang DigitalBits Dari Jersi Kerana Tak Bayar Tajaan

“Kami tidak akan gentar, hanya menghormati mereka dan saya percaya Inter sudah pun bersiap sedia.”

“Tetapi kami adalah Inter. Walaupun tahun lepas kami bertemu Liverpool, kami telah menjalankan tugas dengan baik, kami perlu untuk berada dalam prestasi terbaik.”

“Liga Juara-Juara merupakan satu pertandingan yang merangkumi segenap aspek, dengan kehadiran pasukan terbaik di dunia. Kami turut serta bersaing,” tambah Javier Zanetti lagi.

Seandainya bercakap tentang Barcelona dan Bayern Munich, Zanetti sudah pasti tidak akan melupakan kenangan menumpaskan kedua-dua pasukan tersebut dalam aksi separuh akhir dan akhir UCL 2009/10 untuk menjulang trofi paling berprestij di Eropah itu.

Kredit Featured Image: Inter

Sumber