Ketua jurulatih Turkmenistan, Mergen Orazov mengakui perlawanan menentang Malaysia sangat sukar kerana pasukan Harimau Malaya kali ini lebih kuat serta dibarisi ramai pemain berkualiti.

Ini adalah kekalahan kedua Turkmenistan selepas mereka tewas 1-3 ketika saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lepas.

Orazov turut mendedahkan pasukannya tiba di Malaysia lewat dengan keadaan pemain yang tidak cukup cergas disebabkan oleh saingan Liga Turkmenistan masih belum bermula.

“Kami tiba di sini sedikit lewat. Dari segi fizikal dan kecergasan para pemain tidak berada di tahap tertinggi kerana liga di Turkmenistan masih belum bermula.

“Ini juga perlawanan pertama saya mengendalikan pasukan, saya lihat banyak perkara positif daripada perlawanan ini. Malaysia juga sebuah pasukan yang kuat dan kita juga dapat belajar sesuatu dari segi taktikal.

“Melalui perlawanan ini, para pemain saya dapat banyak pengajaran berguna. Pemain Malaysia juga baik. Disebabkan itu kita pilih untuk menentang Malaysia.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kekalahan ini, saya percaya pasukan kami ada potensi yang baik dan perlu bekerja keras untuk mencapainya,” kata Orazov. 

Dalam perlawanan semalam, Turkmenistan nyaris menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-1 apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi.

Turkmenistan

Malah, jentera serangan mereka juga kelihatan tumpul walaupun mempunyai deretan peluang terhidang.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Hong Kong pada hari selasa untuk aksi persahabatan antarabangsa kedua manakala Turkmenistan memilih untuk menentang beberapa kelab Liga UAE di Dubai.

“Selepas ini kami akan ke Dubai untuk mengadakan kem latihan pusat di sana bagi memantapkan lagi kecergasan dan fizikal pemain memandangkan liga Turkmenistan masih belum bermula.

“Beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab di Dubai telah diaturkan dan saya berharap ia akan menjadi kem latihan yang bagus,” tambah Orazov.