Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui mengalami sedikit kesukaran memilih barisan terbaik untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking FIFA 135, Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Menurutnya, semua pemain yang menyertai kem latihan pusat kali ini mempunyai kualiti tersendiri sekaligus memberi banyak pilihan kepadanya untuk membentuk kesebelasan utama yang lebih mantap.

“Pemain baharu menyesuaikan diri dengan baik dan mereka menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjadi terbaik. Saya yakin semua pemain ini sudah bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama kerana mereka semua cukup cergas.

“Saya juga pening kepala memilih 11 pemain terbaik,” kata Kim Pan Gon ketika sidang media hari ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Pan Gon telah mengekalkan seramai 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.

Lebih menarik, kem latihan pusat kali ini turut disertai oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.

Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.

Turut dipanggil ialah pemain kacukan Malaysia dari luar negara iaitu Nooa Laine. Laine sebelum ini pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Tahun lepas, skuad Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 3-1 ketika saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, Pan Gon menjangkakan perlawanan malam esok pasti sengit kerana Turkmenistan tekad balas dendam untuk membuktikan pasukan mereka lebih baik dibawah bimbingan jurulatih baharu.

“Sasaran kami ialah menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dalam perlawanan persahabatan. Ini adalah untuk memastikan pemain saya dapat belajar sesuatu menentang lawan yang lebih kuat.

“Saya percaya Turkmenistan mahu tunjukkan pasukan itu kini lebih baik daripada kami tetapi kita sudah bersedia untuk berdepan mereka. Kami juga mahu buktikan lebih baik daripada mereka,” jelas Pan Gon.