Australia berjaya mengekang tekanan diberikan Tunisia pada babak kedua untuk mencatatkan kemenangan 1-0 pada aksi kedua kumpulan D yang berlangsung di Al Janoub Stadium, Al Wakrah Qatar, sebentar tadi.

Berdasarkan rekod, ia merupakan kali pertama tidak dibolosi dalam saingan Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan edisi 1974.

Kemenangan itu nyata penting buat Australia bagi menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan 16 selepas mereka tunduk ditangan juara bertahan, Perancis pada aksi pembukaan tempoh hari.

Aksi seimbang ditampilkan pada babak pertama dengan Australia mendapat dua peluang untuk menjaringkan  gol dimana salah satunya membuahkan hasil pada minit ke-23.

Jaringan tunggal itu berpunca daripada hantaran lintang Craig Goodwin terus mencari Mitchell Duke yang kemudiannya melakukan tandukan bagi menewaskan penjaga gol Tunisia, Aymen Dahmen.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Tunisia cuba bangkit dan mendapat peluang pada minit ke-41. Namun, rembatan yang cuba dilakukan Mohamed Dragger dipintas dengan baik pemain pertahanan, Harry Souttar untuk menyelamatkan keadaan.

Memasuki masa kecederaan babak pertama, Tunisia terlepas satu lagi peluang untuk menyamakan kedudukan apabila tolakan ketua pasukan, Youssef Msakni dalam kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Australia.

Ketinggalan satu gol menyaksikan Tunisia tampil dengan lebih garang pada babak kedua untuk mendominasi permainan serta menjelmakan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol lawan.

Bagaimanapun, Matthew Ryan cukup cemerlang dalam mengawasi gawangnya daripada dibolosi untuk menghalang deretan percubaan berbahaya daripada Msakni (dua kali percubaan), Montassar Talbi dan Wahbi Khazri.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Australia ditangga kedua kumpulan dengan tiga mata, ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu, Perancis.

Sementara itu, Tunisia pula dikedudukan keempat meskipun terikat satu mata dengan Denmark susulan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki wakil Eropah itu.