Olivier Giroud kini bersama sama dengan Thierry Henry sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Ini selepas pemain antarabangsa Perancis itu menambah  dua lagi gol ketika juara bertahan Perancis bangkit untuk menewaskan Australia 4-1 dan memastikan misi mempertahankan Piala Dunia mereka bermula dengan kemenangan pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Australia membuat kejutan apabil mendahului di Stadium Al Janoub ketika permainan baru berusia sembilan minit apabila Craig Goodwin menjaringkan gol pembukaan.

Impian Australia untuk mengulangi kejutan yang dihadirkan oleh Arab Saudi ke atas Argentina pada hari yang sama, jelas tidak kesampaian.

Ini kerana Perancis ternyata pasukan yang sangat bijak mengendalikan tekanan dan kekal bersabar dengan taktikal mereka ketika ketinggalan.

Perancis, yang dilanda banyak masalah kecederaan sebelum kejohanan bermula, menyaksikan bek kiri Lucas Hernandez menambah senarai kecederaan mereka.

Bagaimanapun, Perancis berupaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Adrien Rabiot sebelum Giroud meletakkan mereka di depan dengan penyudah jarak dekat pada minit ke-32 untuk gol antarabangsanya yang ke-50.

Kylian Mbappe turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring pada separuh masa kedua dan Giroud memastikan kemenangan untuk Perancis.

Selain itu, Giroud turut menyamai rekod Thierry Henry dengan 51 gol untuk Perancis.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan D selepas pencabar Denmark dan Tunisia seri 0-0 di Doha dalam aksi lebih awal.

Pada usia 36 tahun, penyerang veteran AC Milan Giroud, yang mempunyai 115 penampilan antarabangsa, adalah pemain tertua yang menjaringkan gol untuk Perancis dalam Piala Dunia.

Namun dia hampir pasti tidak akan bermain di sini sekiranya Karim Benzema cergas dalam kempen kali ini.

Pemenang Ballon d’Or  itu terpaksa melupakan aksi Piala Dunia 2022 kerana masalah kecederaan paha pada malam sebelum kejohanan bermula membuatkan Perancis kini kembali bergantung kepada trio serangan yang memberikan mereka kejuaraan dunia 2018 iaitu Mbappe-Giroud-Griezmann.

Bukan hanya Benzema yang tidak dapat menyertai Les Bleus kerana kecederaan, dengan Paul Pogba dan N’Golo Kante — gandingan pemain tengah utama Deschamps – turut gagal cergas sebelum Piala Dunia.

Dengan Varane yang masih separuh cergas selepas mengalami kecederaan dalam aksi kelab bulan lalu, Deschamps memutuskan untuk menggunakan Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate — dengan sembilan kaps sahaja antara mereka — bermain bersama di pertahanan tengah.

Dengan ketiadaan Pogba dan Kante, membuatkan bidan terjun mereka, Adrien Rabiot bersama sama Aurelien Tchouameni mengetuai jentera bahagian tengah.

Rabiot menunjukkan salah satu aksi terbaiknya dalam jersi Les Bleus.