Baru-baru ini tular di laman media sosial yang menunjukkan sekumpulan penyokong Kedah Darul Aman menunggu pengadil untuk keluar dari stadium selepas aksi Liga Super musim 2023 antara pasukan itu menentang PDRM.

Sekumpulan peminat itu dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pengadil terbabit yang dianggap berat sebelah sekaligus merugikan pasukan mereka yang menyaksikan The Cops memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0.

Menurut tinjauan Vocket FC di media sosial, rata-rata netizen yang bukan penggemar bola sepak menganggap tindakan ini sebagai terlalu taksub terhadap pasukan, tidak menjulang semangat kesukanan serta berlebihan.

Ada diantara mereka yang berpendapat perkara ini tidak berbaloi untuk dilakukan kerana keputusan perlawanan sudah diketahui dan kedua-dua pasukan telah melengkapkan 90 minit di atas padang.

Pada perlawanan yang berlangsung di di Stadium Darul Aman Sabtu lalu, Jaringan tunggal Bruno Suzuki pada minit ke 74 sudah cukup memastikan tiga mata penuh menjadi milik PDRM ketika Kedah gagal manfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol di halaman sendiri.

Gol itu terhasil apabila Suzuki memperdayakan beberapa pemain pertahanan Kedah menerusi serangan balas sekaligus melepaskan rembatan dalam kawasan kotak penalti menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al Hafiz.

Malah, skuad kendalian Nafuzi Zain itu terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas kapten pasukan, Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke 60 akibat menolak kepala pemain tengah lawan, Fadi Mahmoud Awad Saleh.

10 minit kemudian, giliran Nafuzi pula dilayangkan kad merah serta diperintah keluar padang kerana dilihat memeluk leher pegawai perlawanan keempat ketika perlawanan sedang dihentikan selepas berlaku kekasaran ke atas pemain.

Tindakan Nafuzi itu turut menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial sekaligus menjadi tanda tanya apakah sebenarnya perkara yang dilakukan oleh jurulatih berusia 44 tahun itu.

Hasil kemenangan tersebut, PDRM kini melonjak ke tangga keenam Liga Super selepas mengumpulan empat mata dalam tiga perlawanan yang diharungi manakala Kedah kekal di kedudukan keempat dengan enam mata.