Kejutan telah berlaku dalam perlawanan ketiga Liga Super 2023 apabila skuad PDRM FC berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 1-0 di Stadium Darul Aman semalam.

Jaringan tunggal Bruno Suzuki pada minit ke 74 sudah cukup memastikan tiga mata penuh menjadi milik PDRM FC ketika Kedah gagal manfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol di halaman sendiri.

Gol itu terhasil apabila Suzuki memperdayakan beberapa pemain pertahanan Kedah menerusi serangan balas sekaligus melepaskan rembatan dalam kawasan kotak penalti menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al Hafiz.

Malah, skuad kendalian Nafuzi Zain itu terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas kapten pasukan, Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke 60 akibat menolak kepala pemain tengah lawan, Fadi Mahmoud Awad Saleh.

10 minit kemudian, giliran Nafuzi pula dilayangkan kad merah serta diperintah keluar padang kerana dilihat memeluk leher pegawai perlawanan keempat ketika perlawanan sedang dihentikan selepas berlaku kekasaran ke atas pemain.

Tindakan Nafuzi itu turut menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial sekaligus menjadi tanda tanya apakah sebenarnya perkara yang dilakukan oleh jurulatih berusia 44 tahun itu.

Selain itu, berlaku kekecohan selepas tamat perlawanan apabila sekumpulan penyokong Kedah telah menyerbu ruangan depan pintu masuk stadium sambil menanti kemunculan pengadil utama perlawanan, Mohd Azizan Saat Ariffin.

Kebanyakan mereka meluahkan kemarahan sebagai tanda tidak puas hati terhadap mutu pengadilan sehingga memaksa campur tangan daripada pihak polis untuk mengawal keselamatan pengadil tersebut.

Difahamkan keadaan kembali terkawal pada pukul 11.35 malam tadi.

Hasil kemenangan tersebut, PDRM kini melonjak ke tangga keenam Liga Super selepas mengumpulan empat mata dalam tiga perlawanan yang diharungi manakala Kedah kekal di kedudukan keempat dengan enam mata.