TRW Kelantan berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia musim 2022 setelah menewaskan Sarawak United dengan keputusan 2-1 secara agregat.

Pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini, Kelantan tampil lebih bertenaga dimana mereka menguasai permainan dengan menampilkan kawalan yang baik sekaligus menyukarkan pasukan lawan untuk cuba membuat gerakan.

Pada minit ke-13, Nurshamil Abdul Ghani menjaringkan gol dimana beliau memanfaatkan bola hasil daripada hantaran rakan sepasukan sekaligus menambah kelebihan yang dimiliki juara edisi 2012 ini.

Namun, Sarawak enggan menyerah kalah dimana usaha mereka untuk merapatkan jaringan membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Raja Imran Shah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, Sarawak United menggandakan asakan ke arah kubu TRW Kelantan namun barisan pertahanan yang diketuai oleh dua bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Khairul Helmi Johari dan Latiff Suhaimi berjaya mengekang segala asakan yang diberikan oleh pihak lawan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus keputusan memihak kepada Kelantan dan mereka menempah pertemuan dengan naib juara musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

JDT menewaskan Petaling Jaya City dengan keputusan 2-0 pada aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim menerusi jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri sekaligus mengesahkan kemenangan dengan keputusan 6-0 secara agregat.