Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan pasukannya bakal menggunakan khidmat pemain muda untuk menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, TMJ menjelaskan faktor utama langkah ini diambil kerana mahu memberikan pemain muda di JDT minit bermain dan juga pengalaman beraksi di pentas besar seperti Piala Malaysia.

“Piala Malaysia kita mempunyai strategi yang lain, kami akan letak lebih pemain-pemain muda untuk memberi mereka minit (permainan) dan juga pengalaman.

“Jadi kita boleh memberi fokus dengan agenda-agenda yang lain, jadi untuk Piala Malaysia saya berharap dapat masuk suku akhir ataupun separuh akhir tetapi lebih dengan barisan-barisan pemain kami yang muda-muda yang lain,” katanya.

Pendekatan ini dibuat bagi memastikan pemain utama dapat memberikan fokus kepada sasaran yang lebih besar iaitu Liga Super, Piala FA dan juga AFC Champions League (ACL) yang turut berjalan seiring dengan saingan Piala Malaysia pada ketika itu.

Saingan Liga Super musim 2023 akan bermula pada 24-26 Februari akan menutup tirainya pada 17 Disember.

Manakala bagi saingan peringkat kumpulan ACL pula, ianya akan bermula sekitar pertengahan September dan berakhir pada sekitar pertengahan Disember.

Saingan kalah mati ACL pula akan bermula sekitar pertengahan Februari 2024 dan perlawanan akhir pula dijadualkan berlangsung pada 11 dan 18 Mei 2024.

Bagi saingan musim ini, TMJ telah meletakkan sasaran iaitu menduduki tangga tiga teratas dalam saingan Liga Super manakala dalam saingan ACL pula beliau meletakkan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan.