Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menyediakan satu projek baharu untuk pemainnya yang baru sahaja pulih daripada kecederaan iaitu Syamer Kutty Abba.

Baru-baru ini, Syamer pulih daripada kecederaan lutut yang dialaminya dimana kecederaan tersebut memaksa pemain itu untuk berehat panjang.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Syamer Kutty Abba mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana menjaganya sepanjang proses pemulihan.

“Alhamdulillah selepas 212 hari berhempas pulas dan bekerja keras, kini saya kembali melakukan perkara yang saya sukai [merujuk kepada bermain bola sepak].”

“Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana memberikan penjagaan terbaik untuk kecederaan saya sejak hari pertama.”

“Terima kasih kepada semua kakitangan kejurulatihan, rakan sepasukan, Fisioterapi terutamanya Luis Vita, keluarga dan rakan-rakan yang berada bersama sepanjang perjalanan ini.”

“Kini tiba masanya untuk bertambah baik dan menjadi pemain yang lebih baik,” ujar Syamer.

TMJ kemudiannya menulis komen pada post tersebut dimana beliau memberitahu Syamer tentang projek baharu.

“Ingat apa yang saya beritahu awak. Projek baharu,” kata TMJ.

Walaubagaimanapun, baik TMJ ataupun Syamer tidak mendedahkan projek jenis apa yang bakal dijalani sama ada melibatkan peribadi atau kelab.

Mengalami kecederaan pada Julai lalu, JDT telah menghantar Syamer ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan di bawah pengawasan pakar bedah ­sukan, Dr. Juan Manuel Boffa yang merupakan konsultan kepada Manchester City.

Sebelum ini, beberapa pemain seperti Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Ramadhan Saifullah dan S.Kunanlan turut pernah mendapat rawatan daripada pakar perubatan yang khusus kepada kepada kecederaan bola sepak ini.