Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan mereka akan menandatangani perjanjian mega dengan sebuah jenama kecergasan global dalam beberapa bulan akan datang selepas perbincangan menggalakkan yang kini berada di tahap akhir.

Lebih menarik, mereka juga bakal memperuntukkan peralatan kecergasan kepada skuad Harimau Malaya atas titah daripada pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga bertitah kepada JDT untuk memperuntukkan peralatan kecergasan untuk skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya sebagai usaha untuk meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” tulis kenyataan rasmi JST.

Ianya sekaligus membuktikan TMJ telah banyak memberikan sumbangan cukup besar kepada skuad kebangsaan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, TMJ juga bertitah agar Stadium Sultan Ibrahim untuk menjadi gelanggang tuan rumah sementara buat skuad Harimau Malaya untuk memberi laluan kepada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal ditutup untuk kerja naik taraf.

Pada Mac tahun lalu, TMJ turut menyumbangkan RM1.4 juta untuk kerja-kerja naik taraf tersebut, termasuk untuk menggantikan rumput padang SNBJ kepada jenis Zeon Zoysia yang lebih sesuai dan tahan lasak.

Selain itu, pemain JDT telah membantu skuad kebangsaan mengutip 32.07 mata ranking FIFA( Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dimana berlaku perubahan daripada tangga ke-154 kepada 146 dunia.

Malah, JDT turut telah meminjamkan Pusat Latihan Padang Sri Gelam kepada skuad negara. Ia juga membolehkan kem negara mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan di Stadium Larkin dan Pasir Gudang pada tahun 2021.