Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi mengesahkan proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan bermula pada bulan Mac 2023.

Bulan Mac lalu, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.

Menurut Faidz, pihaknya sedang berurusan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan bagi mendapatkan dana termasuk tajaan diumumkan TMJ.

“Kerja penukaran rumput akan dimulakan Mac tahun depan. Seperti diumumkan sebelum ini, dana diberikan Tunku Ismail akan digunakan dan ia perlu melalui Kementerian Kewangan,” katanya dipetik dalam Harian Metro.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

Sebelum ini, keadaan padang yang teruk di SNBJ ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 dikecam hebat oleh para peminat bola sepak tempatan. Air bertakungan akibat hujan lebat ketika perlawanan menentang Bahrain menyebabkan padang menjadi becak sekaligus menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Malah, FAM mungkin memilih venue di luar Lembah Klang sebagai lokasi perlawanan Piala AFF jika penggunaan SNBJ tidak mendapat kelulusan badan induk bola sepak Asia Tenggara (AFF).

Bagaimanapun, PSM menegaskan mereka sudah baiki keadaan padang selepas tamat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu.

“Kami tak ada masalah, terpulang kepada pihak yang pakar seperti FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan AFF (Persekutuan Bolasepak Asean) untuk guna atau tidak.

“Di pihak kami, saya boleh sahkan kami sudah baiki dan jaga sebaik mungkin padang termasuk menutup terus penggunaan padang selepas habis Kelayakan Piala Asia 2023, bulan lalu,” jelas Faidz.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

MFL Terpaksa Rombak Jadual Perlawanan Liga Malaysia

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

MFL Kaji Cadangan Sepak Mula Liga Malaysia Pada Waktu Petang