Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Syamer Kutty Abba mahu tampil dengan lebih baik selepas terpaksa berehat panjang sebelum ini ekoran kecederaan lutut serius yang dialaminya.

Mengalami kecederaan pada Julai lalu, JDT telah menghantar Syamer ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan di bawah pengawasan pakar bedah ­sukan, Dr. Juan Manuel Boffa yang merupakan konsultan kepada Manchester City.

Sebelum ini, beberapa pemain seperti Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Ramadhan Saifullah dan S.Kunanlan turut pernah mendapat rawatan daripada pakar perubatan yang khusus kepada kepada kecederaan bola sepak ini.

Penantian panjang Syamer kini telah berakhir apabila beliau sudah mula menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukannya yang lain di Padang Seri Gelam.

“Alhamdulillah selepas 212 hari berhempas pulas dan bekerja keras, kini saya kembali melakukan perkara yang saya sukai [merujuk kepada bermain bola sepak].”

“Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana memberikan penjagaan terbaik untuk kecederaan saya sejak hari pertama.”

“Terima kasih kepada semua kakitangan kejurulatihan, rakan sepasukan, Fisioterapi terutamanya Luis Vita, keluarga dan rakan-rakan yang berada bersama sepanjang perjalanan ini.”

“Kini tiba masanya untuk bertambah baik dan menjadi pemain yang lebih baik,” ujar Syamer Kutty Abba menurut satu hantaran di laman Instagram peribadi miliknya.

Menyertai JDT pada musim 2018, Syamer Kutty mampu mengemudi jentera tengah dengan baik walaupun kelibatnya sering dipertikaikan oleh peminat terutamanya setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan.