Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mempertahankan tindakan 14 pemain yang menolak panggilan untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Beliau menjawab kenyataan daripada ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang mengakui ini pertama kali dalam kariernya berdepan situasi pemain menolak panggilan pasukan kebangsaan.

TMJ dalam satu kenyataan di laman instagram story menegaskan pemain bukan mesin yang bekerja setiap hari dan mereka juga perlu waktu cuti untuk berehat setelah menghadapi jadual perlawanan yang padat musim ini.

Selain itu, kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 berada di luar kalendar FIFA dan kelab berhak untuk tidak melepaskan pemain mereka.

“Pemain juga adalah manusia yang bekerja, menjalani latihan, dan bermain sejak bulan januari. Manusia mana kerja tanpa cuti? Apabila liga atau pertandingan domestik kita berehat,  pemain kebangsaan tiada rehat kerana ada kem latihan selama 3 minggu.

“Kita [Malaysia] adalah satu-satunya negara yang mempunyai kem latihan paling lama. Negara jiran semua dah ikut konsep eropah dimana kem latihan hanya seminggu sebelum perlawanan.

“Piala AFF adalah piala yang mengacau pemain dan jadual pertandingan. Contoh, pemain lapor pada Januari, Piala AFF habis 15 Januari. Bila pemain nak dapat cuti? Satu tahun main bola dan menjalani latihan tanpa henti hanya 6 hari dalam satu tahun? Pemain bukan mesin,” tegas TMJ.

Bagi TMJ, ketua jurulatih kebangsaan ibarat sedang meminjam barang orang tetapi tiada sikap bertimbang rasa.

“Yang bayar gaji dan labur adalah kelab bukan awak. Apa punya sikap pakai barang orang tetap tiada bersikap bertimbang rasa.

“Bayangkan anda beli dan bayar kereta tetapi orang lain pakai kereta sesuka hati mereka. Apabila rosak, anda yang kena betulkan, sedangkan kereta tu anda yang punya.

“Nak berjaya, kita semua kena kerja secara kolektif. Pemain sudah membuktikan komitmen mereka dengan layak ke Piala Asia. Takkan AFF yang dunia tak mengambil serius pun kita terkejar kejar semata-semata populariti, trend dan undi. Fikirkan sesuatu yang lebih besar,” tambah TMJ.

Sejak hari pertama kem latihan pusat, 17 pemain telah melapor diri di kem manakala baki 11 pemain lain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta’zim pada 5 Disember 2022.

Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim akan menyertai pasukan pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022.