Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akhirnya bermula semalam sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Bagaimanapun, dua pemain KL City iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert tidak melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat selepas kedua-dua mereka meminta pelepasan kerana urusan peribadi.

Menurut kenyataan rasmi FAM, mereka telah menerima surat maklumat daripada KL City yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

“Dengan ketiadaan Akram dan Declan, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain lain termasuk seorang pemain dari Senarai Bersedia iaitu Fazly Mazlan, pertahanan kiri Selangor FC.

“Seramai 17 pemain telah melapor diri manakala baki 11 pemain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta’zim pada 5 Disember 2022; penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya ketua jurulatih, Kim Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.