Pemilik skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berpendapat jersi cantik tidak begitu penting kerana ia bukan kayu pengukur untuk menilai kejayaan pasukan itu.

TMJ berkata demikian ketika ditanya soalan mengenai pandangannya tentang jersi baharu JDT musim 2023 dalam satu rakaman video temubual JDT TV yang disiarkan menerusi laman facebook Johor Southern Tigers.

Syarikat sukan terkemuka dunia, Nike masih meneruskan tajaannya kepada JDT untuk musim kesembilan sejak 2014, jersi skuad Harimau Selatan kali ini tampil dengan kelainan dengan tema ‘Elevate The Game’.

Jersi ‘Home’ JDT 2023 mempunyai corak ‘camouflage’ sambil mengekalkan warna identiti bendera Johor iaitu merah dan biru. Terdapat juga ‘collar’ pada bahagian leher jersi ini.

Malah, klip video pelancaran baharu JDT sehingga kini telah mendapat lebih 10,000 tanda suka, lebih 1000 komen selain dikongsi lebih 1000 kali.

Kebanyakan peminat setia Harimau Selatan berpuas hati dengan rekaan jersi tersebut dan turut memuji ia lebih cantik daripada jersi pada musim lepas. Malah, difahamkan jualan jersi ‘Home’ JDT mendapat sambutan yang hangat dan menjadi rebutan para pengumpul jersi.

Bagaimanapun, TMJ menyifatkan ia tidak begitu penting kerana JDT adalah kelab bola sepak yang mementingkan kejayaan dari segi infrastruktur dan pencapaian dalam setiap pertandingan.

“Kami kelab bola sepak. Kami di sini bukan untuk jual baju. Kami di sini untuk berjaya dalam setiap aspek. Bermakna ada infrastruktur sukan tercanggih, teknologi dan juga kejayaan dalam padang, dalam setiap pertandingan, pencapaian dan rekod.

“Bagi saya penilaian kelab itu berjaya atau tidak, bukan setakat jual baju. Baju cantik, baju tak cantik, bagi saya belakang kira. Kalau kita tengok, 2016, 2017, 2018, kit JDT pun biasa saja.

“Tetapi itu tak penting kerana kami bukan kelab jual baju. Kami adalah kelab yang cuba berjaya dalam setiap aspek nilai komersial, infrastruktur canggih dan kejayaan dalam padang. Itu lebih penting bagi saya,” tegas TMJ.

Skuad Harimau Selatan dibawah kendalian jurulatih baharu, Esteban Solari bakal membuka kempen Liga Super 2023 menentang Terengganu pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim untuk perebutan Piala Sumbangsih.