Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi melancarkan jersi baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Syarikat sukan terkemuka dunia, Nike masih meneruskan tajaannya kepada JDT untuk musim kesembilan sejak 2014, jersi skuad Harimau Selatan kali ini tampil dengan kelainan dengan tema ‘Elevate The Game’.

Menerusi paparan dalam klip video berdurasi 1 minit, jersi ‘Home’ JDT mempunyai corak ‘camouflage’ sambil mengekalkan warna identiti bendera Johor iaitu merah dan biru. Terdapat juga ‘collar’ pada bahagian leher jersi ini.

Manakala jersi ‘away’ pula mengekalkan warna putih sebagai warna utama selain terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan dan biru di bahagian belakang jersi.

Selain itu, tiada lagi paparan Unicef pada bahagian depan jersi dan digantikan JDT Fan Token hasil kerjasama dengan platform ‘fans engagement’ dan ganjaran, Socios.com.

Seperti diketahui, Socios.com merupakan jenama yang cukup sinonim dengan kelab ternama di Eropah seperti Barcelona, Inter Milan, Paris-Saint Germain, Juventus dan banyak lagi.

Fan Tokens adalah aset digital yang membolehkan penyokong mengakses komuniti di mana pertandingan, undian kelab, ‘prediction’ dan pelbagai lagi ciri-ciri boleh memberi akses kepada ganjaran termasuk barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman kelab yang unik dan tidak akan dilupakan.

Sehingga artikel ini ditulis, klip video pelancaran jersi JDT yang disiarkan di laman facebook Johor Southern Tigers (JST) sudah mendapat lebih 10,000 tanda suka, lebih 800 komen selain dikongsi lebih 1000 kali.

Kebanyakan peminat setia JDT berpuas hati dengan rekaan jersi musim ini dan turut memuji ia lebih cantik daripada jersi pada musim lepas. Malah, difahamkan jualan jersi ‘Home’ JDT mendapat sambutan yang hangat dan menjadi rebutan para pengumpul jersi.

Para penyokong boleh mendapatkan jersi berkenaan di stor dalam talian JDT serta pengedar- pengedar berdaftar Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) di semua daerah-daerah di Johor pada harga RM299 sehelai untuk dewasa manakala RM235 bagi kanak kanak.