Selangor TOT United yang kini sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dikatakan cukup berminat untuk merekrut pemain kelahiran Brazil, Raimundo Helio Carneiro Neto.

Menurut sumber dalaman yang dipercayai, pasukan tangga keenam liga edisi 2022 itu mahu membawa dua pemain import dalam usaha untuk bersaing hebat merebut kejuaraan musim hadapan.

Malah, kedua-duanya dikatakan berpengalaman luas dalam kancah Liga Futsal Thailand dimana salah seorang daripadanya dilaporkan berasal dari Brazil.

Dengan melihatkan kepada hantaran terbaharu beliau di laman sosial peribadi miliknya, Helio Neto sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang diwakilinya selama tiga musim itu.

Keadaan itu sudah pastinya menguatkan lagi khabar angin mengenai kehadiran Helio untuk memantapkan barisan pemain Selangor TOT United.

Malah, seandainya kehadiran Helio Neto itu menjadi kenyataan, ia bukanlah satu perkara mengejutkan kerana ketua jurulatih Selangor TOT United pada ketika ini ialah Patt Sriwijit yang cukup sinonim dengan Bluewave Chonburi.

Sudah pasti Sriwijit sudah masak dengan corak permainan Helio untuk diadunkan dengan Joshua Lee, Iqhmal Najmie Ismail yang mewakili skuad negara dalam dua kejohanan terakhir serta beberapa bekas pemain skuad kebangsaan seperti Muhammad Farikh Khabibor Rahman, Yazid Kamaruzuan dan Shamar Fadzil.

Neto, 31 tahun merupakan pemain yang mempunyai kemahiran individu yang baik serta kedua-dua belah kakinya ‘hidup’ untuk melakukan rembatan padu.

Dalam perkembangan lain, bekas pemain skuad kebangsan Thailand turut berada dalam radar Selangor TOT United pada ketika ini dan difahamkan usaha untuk membawa masuk pemain berusia 30 tahun itu dalam perbincangan.