Selangor TOT United kelihatan semakin serius untuk menghadapi saingan musim baharu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila bakal mendapat khidmat ketua jurulatih dari Thailand.

Individu dimaksudkan yang akan membimbing pasukan tangga ketiga Piala Futsal Malaysia (PFM) itu ialah Patt Sriwijit. Pengendali yang cukup sinonim dengan pasukan gergasi, Bluewave Chonburi dan skuad kebangsaan Thailand.

Berusia 40 tahun, Patt pernah bergelar ketua jurulatih bagi skuad futsal wanita Thailand dalam menjulang kejuaraan di peringkat Asia Tenggara (ASEAN) serta turut menjadikan Thailand sebagai antara pasukan terkuat di rantau Asia.

Kini, di samping bergelar penolong kepada ketua jurulatih skuad futsal Thailand, Carlos Cesar Nunez Gago, Patt turut membantu Andre Dos Santos dalam mengemudi Bluewave Chonburi bagi menghadapi kempen Liga Futsal Thailand.

Patt bukan sahaja berpengalaman bekerja dibawah pengendali-pengendali berkelas dunia malah beliau sendiri sudah memiliki lesen kejurulatihan AFC tahap 3 pada tahun 2019.

Dengan kemampuannya bertutur dalam bahasa inggeris dengan baik, ia secara tidak langsung memudahkan urusannya untuk memberikan tunjuk ajar kepada barisan pemain TOT United nanti.

Menurut sumber dipercayai, Selangor TOT United yang berwajah baharu selepas kehilangan ramai pemain musim lalu akan membawa masuk seorang pemain import dari Brazil.

Malah, usaha untuk mendapatkan seorang pemain import dari Thailand atau Indonesia juga sedang giat dijalankan bagi memantapkan lagi pasukan.

Musim 2022 menyaksikan Selangor TOT United menamatkan saingan MPFL di kedudukan keenam selepas mengumpul 20 mata hasil enam kemenangan, dua keputusan seri dan enam kekalahan.