Para peminat setia Kuala Lumpur City (KL City) kini boleh mendapatkan tiket aksi final Piala AFC 2022 menentang kelab Oman, Al Seeb yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Difahamkan harga asal tiket tersebut ialah RM50 namun para penyokong boleh mendapatkannya dengan harga promosi sebanyak RM30 bermula hari ini (17 Oktober) hingga hari rabu (19 Oktober).

Bagaimanapun, tiket tersebut hanya dijual secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my dan setakat ini tiada jualan secara fizikal di kaunter stadium.

Untuk membeli tiket di laman web tersebut, anda perlu mempunyai akaun Tickethotline dengan mendaftarkan nombor kad pengenalan.

Satu akaun hanya boleh membuat satu transaksi dan hanya boleh membeli empat (4) keping tiket sahaja. Sekiranya anda membeli lebih dari satu tiket, anda hendaklah mengisi butiran pemilik tiket yang selebihnya.

Penjualan tiket adalah terbuka kepada semua individu tanpa mengira had umur dan status vaksinasi.

Jika terdapat transaksi yang berjaya pada masa jualan telah mencapai kuota, transaksi pembeli akan dibatalkan dan pembeli akan dimaklumkan oleh Tickethotline serta wang pembelian tersebut akan dikembalikan.

Jika terdapat satu akaun memiliki dua atau lebih transaksi yang berjaya, Tickethotline hanya akan meluluskan satu transaksi sahaja. Bagi transaksi yang berjaya, pembeli akan menerima, QR CODE/E-TICKET yang dihantar kepada emel atau ORDER HISTORY anda dalam masa satu hari bekerja.

Untuk makluman para penyokong, perlawanan tersebut akan bermula pada pukul 7.00 malam mengikut waktu yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Para penyokong tuan rumah akan masuk melalui pintu C (Gate C). Rujuk plan tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil seperti dibawah.

Plan tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil

Perubahan lokasi perlawanan ke SNBJ berlaku kerana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras dikatakan tidak mencapai standard dan syarat yang diperlukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah.

Difahamkan, isu teknikal seperti pemasangan video bantuan pengadil (VAR) dan tahap kecerahan lampu limpah yang tidak memenuhi 1800 lux menjadi punca utama lokasi perlawanan itu terpaksa diubah ke SNBJ.

Ayuh! Sama-sama kita memberikan sokongan padu kepada skuad warga kota untuk menjuarai Piala AFC sekaligus menyamai pencapaian JDT yang pernah melakukannya pada tahun 2015.